AGENDAJENAYAH

Selebriti Instagram ditahan anjur tarian separuh bogel di I-City

SHAH ALAM, 30 MEI: Polis menahan seorang pesohor Instagram berhubung kejadian sekumpulan lelaki berperwatakkan wanita yang menari separuh bogel dan membakar bunga api pada majlis rumah terbuka Aidilfitri di sebuah unit di I-City di sini, Jumaat lepas.

Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Mohd Iqbal Ibrahim berkata ‘instafamous’ dikenali sebagai ‘Cik Lala’ yang juga penganjur majlis tersebut, ditahan semalam dan direman sehingga esok bagi membantu siasatan selepas tular beberapa rakaman video yang dimuat naik di laman sosial TikTok.

Katanya siasatan awal mendapati kejadian itu didakwa berlaku pada 27 Mei sekitar pukul 8 malam hingga 11.30 malam di sebuah unit di Centralwalk I-City, di sini.

“Pengadu yang merupakan pengurus Badan Pengurusan Bersama (JMB) I-Soho I-City membuat laporan polis pada 28 Mei setelah menerima pesanan WhatAapp mengenai aktiviti yang menjatuhkan imej I-City sebagai satu tarikan pelancong di Selangor,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya aktiviti yang diiringi muzik kuat itu dilakukan di kawasan awam berhampiran rumah penduduk dan ‘Cik Lala’ adalah individu yang menyewa unit berkenaan pada harga RM4,000 bagi menganjurkan majlis berkenaan dengan jemputan kira-kira 50 orang.

Mohd Iqbal berkata kes disiasat mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan, Seksyen 6 Akta Bahan Letupan 1957 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes boleh menghubungi Insp Nur Syuhada di talian 017-6942736.

-BERNAMA


Pengarang :