Hasnah Diran, 65, (kiri) bersama rakan dan cucunya menonton siaran langsung Program Senandung Aidilfitri di Flat Kelompok Camar, Ampang pada 3 Mei 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMAPILIHAN MINGGUANSELANGOR

Senandung Aidilfitri suntik semangat bangkit semula pascabah, Covid-19

SHAH ALAM, 4 MEI: Sketsa dipentaskan dalam Senandung Aidilfitri diharap menyuntik semangat orang ramai untuk bangkit selepas melalui pelbagai episod duka akibat pandemik Covid-19 dan banjir.

Pengarah Program Adon Dagok berkata program bersiaran malam tadi yang ditonton hampir 20,000 orang mengetengahkan mesej dan usaha Kerajaan Negeri membantu rakyat yang ditimpa kesusahan.

“Walaupun ia program hiburan tetapi penceritaan dalam sketsa tetap menyelitkan mesej positif terutama bantuan negeri kepada rakyat yang berdepan kesusahan sepanjang tempoh dua tahun ini.

“Kita mahu semua masyarakat lupakan segala kesedihan. Memang kita semua kena harungi ujian tersebut, namun apabila tiba hari raya kita perlu meraikannya dengan gembira kerana Aidilfitri adalah hari kemenangan buat kita semua,” katanya ketika dihubungi.

Adon mengakui turut berbangga dan teruja apabila diberi peluang bekerjasama dengan Kerajaan Negeri untuk menjayakan program berkenaan meskipun mengalami kesuntukan masa.

“Walaupun mencabar dan mendebarkan, tetapi ia satu penghargaan besar buat kami. Insya-Allah jika diberi kepercayaan, kita sedia bekerjasama lagi dengan Kerajaan Negeri,” katanya lagi.

Sketsa sempena Aidilfitri itu terbahagi kepada lima bahagian iaitu banjir, rebut raya, kampung halaman, dapur raya dan kita bangkit bersama.

Rancangan dengan kerjasama Unit Perancang Ekonomi Negeri serta Perbadanan Adat dan Warisan Selangor selama sejam dilakonkan Azlee Senario, Raja Azura, Bell Ngasri dan Sissy Imann.

Senandung Aidilfitri kali pertama disiarkan tahun lalu ketika larangan balik kampung akibat Perintah Kawalan Pergerakan dan disiar di portal selangortv.my, Facebook Media Selangor dan YouTube Selangor TV.


Pengarang :