Petikan gitar Fauzi Marzuki membuahkan ‘emas’ sepanjang 40 tahun bergiat aktif dalam bidang seni sekali gus mengangkat namanya sebagai penggubah tersohor. Foto diambil ketika temu bualnya bersama Media Selangor di kediamannya di Gombak pada 29 Mac 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
BERITA UTAMARENCANAWAWANCARA

Sentuhan ‘magis’ Fauzi Marzuki, lagu raya diputar empat dekad

SHAH ALAM, 3 MEI: Sejak empat dekad lalu, Selamat Berhari Raya nyanyian Rahimah Rahim sentiasa berkumandang di corong radio setiap kali menjelang lebaran. Lagu ciptaan Fauzi Marzuki, 67, dianggap karya malar segar dan menjadi siulan pada musim perayaan.

Berpengalaman lebih 40 tahun dalam muzik, anak kelahiran Perak itu tempuh pelbagai ranjau bagi menghasilkan karya terbaik. Petikan gitarnya membuahkan ‘emas’, mengangkat namanya sebagai penggubah tersohor tanah air.

Sempena Aidilfitri, wartawan AFIX REDZUAN bersama jurugambar Remy Arifin mendengar suka duka di sebalik penciptaan lagu raya itu dan perjalanan seni Fauzi di kediamannya di Gombak pada 29 Mac.

Bagaimana tercetus idea hasilkan lagu raya nyanyian Rahimah Rahim yang rancak dan menjadi siulan sehingga kini?

Bila bercakap mengenai lagu raya, saya mesti fikir suasana gembira, orang bandar pulang ke desa. Bukannya orang kampung pergi ke bandar.

Kalau mahu buat sesebuah lagu, mesti sesuai dengan latar, ringkas dan mudah dimainkan oleh kugiran kenduri kahwin serta bersifat kemelayuan. Kita juga perlu fikirkan lagu berkenaan sebagai satu filem pendek.

Untuk lagu Selamat Berhari Raya, saya petik gitar sekejap sahaja. Sekitar 10 hingga 15 minit. Ketika itu tiada lirik, hanya buat melodi.

Dalam fikiran saya ketika itu memang mahu buat lagu raya dan saya tahu lagu ini akan diberi kepada Rahimah Rahim. Sebenarnya lagu itu bersifat 60-an.

Tetapi pengenalan petikan gitar lagu itu saya kaji daripada lagu Suasana Hari Raya nyanyian Anuar Zain dan Ellina. Kali terakhir saya buat lagu raya sekitar tujuh tahun lalu nyanyian Ayai (Ilusi), tajuknya Ku Pulang Setiap Raya.

Sejak bila tercetus minat terhadap muzik?

Segalanya bermula ketika usia saya 14 tahun pada 1969. Ketika itu, saya minat main gitar dan kumpul duit belanja sekolah untuk beli gitar kapuk. Harganya RM24. Saya berjaya kumpul RM12 dan bapa saya tambah wang. Di situ minat terhadap muzik makin mendalam.

Saya mula main muzik bersama kugiran dalam majlis kenduri kahwin. Sejak itu saya cuba perbaiki bakat dengan bermain dengan pelbagai kugiran lain sehinggalah belajar di universiti. Di universiti, saya belajar diploma kejuruteraan elektrik.

Tapi apabila pada tahun ketiga pengajian saya fikir kalau kerja masa itu gaji sekitar RM700 lebih tapi bermain muzik gaji lebih banyak. Siang saya belajar, malam saya bermain muzik di Kelab Tropicana, Jalan Ipoh dengan kawan. Ketika itu, gaji bermain muzik sekitar RM800.

Komposer terkenal Fauzi Marzuki menunjukkan sebahagian koleksi trofi yang dimilikinya sepanjang berkecimpung dalam industri seni ketika temu bual bersama Media Selangor di kediamannya di Gombak pada 29 Mac 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Akhirnya, saya masuk kugiran Discovery. Discovery merupakan kugiran terbaik yang saya sertai. Kami salah satu kugiran yang tandatangani kontrak bersama syarikat rakaman EMI pada 1975. Kugiran kami bersaing dengan Black Dog Bone. Mereka (Black Dog Bone) di Singapura dan kami (Discovery) di Kuala Lumpur.

Tetapi apabila siap album, Black Dog Bone lebih menyerlah. Walau begitu, pemuzik-pemuzik dalam Discovery semuanya bagus.

Meski tidak berjaya dalam kumpulan tetapi karier individu meningkat. Semua menjadi penerbit album. Tetapi saya lebih kepada penerbit, komposer dan pengurus artis. Sebagai pengurus artis antara yang diuruskan adalah Sharifah Aini, Sudirman, Noor Kumalasari dan Anita Sarawak.

Secara tidak langsung, ia peluang buat lagu untuk artis bawah saya. Saya juga bekerjasama dengan komposer luar seperti A Ali.

Pada orang luar saya komposer tetapi asalnya saya pengurus artis dan pemuzik yang minat meningkatkan muzik ke tahap lebih baik berdasarkan apa yang didengar pada masa itu.

Album artis pertama dihasilkan?

Sebelum sertai EMI, saya terlibat dalam album pertama Yusni Hamid. Masa itu, dia minta saya terbitkan albumnya yang mempunyai 10 lagu dan saya buat. Antaranya lagu Ku Tak Mengerti dan Aku Rindu.

Pada masa sama, saya turut bekerja di studio rakaman Sun Recorders. Saya juga jadi pembantu jurutera rakaman. Selepas album Yusni Hamid, Warner Music minta saya terbitkan album Blues Gang. Sejak itu, saya buat pelbagai album. Antaranya Jamal Abdillah (Kekasih Awal dan Akhir), Shima (Teringin) dan Ella (Sepi Sekuntum Mawar Merah).

Setiap album yang dibuat dapat sambutan dan setiap lagu menjadi ‘hit’. Daripada situ semua minta buat lagu. Kerjaya saya berkembang sehinggalah 2005 yang ketika itu saya buat album Mawi, Kian.

Sejak 2005, saya lihat pasaran album Melayu berubah. Tidak banyak jual kaset, cakera padat (CD) dan bermulanya YouTube. Daripada situ, fokus berubah kepada buat adunan lagu dengan tujuan supaya tidak perlu lagi buat lagu, biarlah orang baharu pula. Sampai sekarang saya masih buat adunan lagu.

Sekarang saya mengajar pendatang baharu cara mendapat adunan lagu yang baik.

Apakah pandangan mengenai industri muzik kini?

Mengenai perbezaan zaman dahulu dan sekarang, pada saya industri muzik kini tiada hala tuju. Syarikat rakaman pun tidak menentukan hala tuju. Cukup sekadar ada lagu dan muat naik di Youtube dengan harapan lagu cepat naik.

Kalau dahulu orang nak lagu ‘hit’ tapi sekarang orang nak banyak ‘like’. Pada saya, dapat banyak ‘like’ tidak bermaksud lagu itu ‘hit’. Kalau diulang dengar barulah lagu itu ‘hit’.

Kalau kita tengok contoh (program) Muzik-Muzik pun lagu yang ‘hit’ kita sendiri tidak beberapa tahu. Kalau tahun 2000 ke bawah, bila sesebuah lagu itu ‘hit’ kita akan tahu. Selepas (tahun) itu sehingga sekarang lagu yang menang (pertandingan) pun kita tidak tahu. Cukup sekadar ia (lagu) menang dalam pertandingan tersebut. Tapi tidak menang dalam semua program (yang lain).

Saya tidak anggap satu lagu yang menang (pertandingan) sebagai lagu ‘hit’. Itulah perbezaannya.

Bagaimana mencari ilham untuk mencipta lagu?

Saya tidak mempunyai formula. Biasanya, apabila saya membuat lagu ‘tailor-made’ (khas) untuk penyanyi itu sahaja. Cuma apabila buat lagu, saya akan fikir cara artis menyanyi, kelemahan dan suaranya.

Saya tidak buat lagu dan simpan. Saya hanya buat lagu jika diminta. Dahulu saya buat lagu sebab seronok. Pendek kata, saya buat lagu ada dua sebab.

Pertama, saya akan buat lagu kalau artis itu saya suka atau boleh menaikkan nama saya. Kedua projek itu ada bajet yang baik, baru saya buat lagu. Biasanya bajet saya buat lagu sekitar RM6,000 hingga RM8,000.

Tidakkah ia mahal?

Buat lagu ini kerja kesenian. Macam lukisan, kalau dilukis atas kanvas berharga RM5 dan pelukisnya terkenal maka harga lukisan akan mahal. Kanvas tetap berharga RM5. Orang akan bayar harga lukisan itu berdasarkan tandatangan pada lukisan. Sama juga lagu. Kita buat lagu berdasarkan harga diminta. Kalau setuju kita akan buat.

Sebelum kita terkenal, kita akan buat lagu sekadar untuk buat lagu sahaja. Tapi apabila terkenal, kita buat lagu sebagai mata pencarian.

Apa yang boleh saya katakan sekarang ‘you pay, i do’. Dahulu buat lagu disebabkan semangat. Jamal kalau bawa lagu kita pasti ‘hit’. Jadi boleh tumpang Jamal untuk menaikkan nama kita.

Katakanlah lagu Kekasih Awal dan Akhir itu dinyanyikan artis lain, saya rasa belum tentu lagu itu ‘hit’. Sekarang saya sudah sampai penanda aras yang saya tetapkan.

Saya tidak perlukan nama tetapi duit kerana saya ada kehidupan yang perlu diuruskan dan selain mahu tambah baik peralatan kita bekerja.

Tujuan minta duit sebenarnya untuk tumpuan buat lagu sepenuhnya. Apabila diminta saya bukan buat satu lagu sahaja. Saya akan buat pilihan lagu mana yang terbaik dan tunjukkan kepada artis untuk mereka pilih.

Penyanyi kena faham, dia menyanyi bawa lagu kita, hanya perlu bayar sekali sahaja. Kemudian dia akan nyanyi lagu berkenaan setahun, dua tahun atau 10 tahun. Mereka meraih pendapatan berpanjangan.

Apakah justifikasi meletakkan harga bagi lagu dihasilkan?

Selepas semua lagu yang saya buat ‘hit’. Contoh apabila menang Anugerah Juara Lagu (AJL) 1992. Setiap lagu saya walau hanya satu dalam album artis tapi ‘hit’. Itu bukan kebetulan.

Bercakap mengenai AJL, boleh cerita mengenai lagu Pada Syurga di Wajahmu yang menang AJL 1992?

Lagu itu menang lima daripada lapan anugerah dalam dua pertandingan iaitu AJL dan Konsert Pujaan 10 Nescafe pada 1992. Sebenarnya saya dipaksa oleh Jay Jay (Carefree) untuk buat lagu itu di King Studio sekitar 1991. Dia sebagai penerbit album Nash masa itu.

Jadi, saya minta gitar dan suruh dia rakam. Ketika itu, saya memang tidak ada lagu langsung dalam kepala. Saya rakam lagu itu dalam lima minit. Selepas itu dengar semula dengan harapan ada bahagian yang perlu dibaiki tetapi semuanya elok.

Maka begitulah terhasilnya lagu berkenaan. Tidak ada perubahan. Lirik lagu dihasilkan Bob Lokman.

Sebenarnya, Jay Jay sudah lama minta buat lagu tapi tertangguh sebab tugas lain. Kebetulan, saya datang studio ketika itu dan dia paksa saya buat lagu itu.

Seperti saya katakan sebelum ini, kalau mahu hasilkan lagu saya akan minta bayaran tetapi dalam situasi itu lagu berkenaan akan dinyanyikan Nash. Kalau Nash yang nyanyi, lagu pasti meletup.

Jadi, saya tidak perlu risau tentang bayaran ketika itu kerana saya masih dapat royalti akhirnya. Nasib baik lagu itu menjadi dan Jay Jay melakukan tugasnya dengan baik.

Apa yang perlu ada dahulu, lagu atau lirik?

Mana-mana pun boleh. Kalau sekarang saya lebih suka lirik dahulu. Kalau zaman dahulu, buat lagu dahulu baru lirik supaya saya dapat buat lagu berbeza daripada sebelumnya.

Dahulu saya cari penulis lirik seperti Datuk Habsah Hassan dan Lukman S. Zaman sekarang saya mungkin akan cari penulis lirik baharu supaya ada perubahan dalam lagu dihasilkan.

Boleh kongsi petua menjadi pencipta lagu yang hebat?

Dalam apa bidang sekalipun yang penting semangat dan kesungguhan. Jangan tipu diri sendiri. Contoh kalau buat lagu, kita tanya diri sendiri, sedap atau tidak lagu yang dicipta. Kalau kita sendiri rasa lagu itu tidak sedap, macam mana orang lain boleh kata sedap?

Fauzi Marzuki menunjukkan koleksi trofi Anugerah Industri Muzik (AIM) yang pernah diraih sepanjang 40 tahun bergiat aktif dalam bidang seni. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Siapa idola dalam bidang cipta lagu?

Quincy Jones, penerbit album Thriller Michael Jackson. Jadi idola kerana ketika itu dia berusia lebih 50 tahun tetapi berjaya buat album Michael Jackson yang mampu menarik minat golongan muda dan muziknya hebat.

Kalau kita buat sesuatu muzik, ia mesti untuk orang muda. Pada saya, bila kita menghasilkan sesuatu produk mesti kita akan itu perkembangan semasa.

Pernah ada pengalaman ditipu atau tidak mendapat royalti sepanjang menceburi bidang seni?

Tiada, sebab saya akan pastikan semua kontrak betul dan lengkap. Sehingga hari ini masih dapat royalti lagu. Sejak dua tahun lalu susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) saya tidak terlalu bekerja.

Bagaimana kehidupan sepanjang PKP?

Kesan PKP sejak dua tahun lepas hampir 2/3 pendapatan saya merosot kerana royalti tidak dapat dibayar pihak bertanggungjawab. Pendapatan mereka juga terjejas maka mereka juga tidak boleh bayar royalti.

Pendapatan royalti 2019 dan 2020 turun. Saya bernasib baik sebab jenama ‘Fauzi Marzuki’ itu saya dapat satu projek yang membolehkan saya hidup dua tahun.

Kita juga kena jaga nama sendiri dan bina reputasi yang baik supaya terus bertahan dan tidak cepat jatuh.

Fenomena muzik ‘rock kapak’ masih menjadi pilihan pendengar. Kenapa ia kekal popular? Adakah lagu konsep ‘jiwang’ sesuai sekarang?

Saya rasa ‘rock kapak’ menjadi fenomena kerana ia selari dengan keupayaan pendengar. Apabila lagu itu mudah, ringkas dan boleh kaitkan dengan kehidupan seperti main muzik.

Lagu yang ringkas misalnya membantu mereka memetik gitar kerana mudah mencari ‘chord’ dan bermain secara berkumpulan. Kalau kita tengok lagu sekarang, mungkin susah untuk pendengar petik gitar berbanding lagu dahulu.

Sama ada lagu konsep ‘jiwang’ masih sesuai pada masa kini itu kita perlu kaji. Sebagai penggiat muzik, kita perlu kaji apa peminat mahu dan tahap penerimaan mereka.

Kita tidak boleh sogok muzik yang kita sahaja rasa bagus. Apa yang kita rasa bagus, belum tentu bagus pada pendengar. Boleh jadi mereka tidak faham apa yang kita cuba sampaikan.

Lagu sekarang tidak menjadi fenomena. Contoh lagu Isabella, kalau dinyanyikan Datuk M Nasir, semua orang boleh ikut.

Apabila kita buat lagu perlu fikir bagaimana mahu hiburkan pendengar. Ketika buat lagu, saya sentiasa fikir bahagian yang boleh dinyanyikan bersama. Lagu bagus mesti mudah dan bukan menyusahkan.

Orang dengar lagu untuk bersantai. Jika kita perhatikan lagu Inggeris yang ‘hit’, lagu mereka ringkas. Perlu belajar dan kaji kemahuan pendengar.

Cuba dengar lagu yang popular sebelum 1990-an, semua penyanyi mempunyai identiti suara sendiri. Kekurangan penyanyi sekarang adalah ketiadaan identiti.

Bagaimana pengalaman bekerjasama dengan Datuk Seri Siti Nurhaliza?

Saya kebetulan menjadi juri ketika dia menang Bintang RTM. Saya lihat dia mempunyai bakat besar untuk pergi jauh sebagai penyanyi ketika itu.

Dia ada identiti yang bagus, suara yang baik dan berbakat sebagai penyanyi. Memang dilahirkan untuk menjadi seorang penyanyi.

Berikan apa sahaja lagu, Siti Nurhaliza boleh nyanyikan. Pada saya dia mungkin tidak sesuai nyanyi genre rock tetapi yang lain dia boleh nyanyi.

Gelaran penyanyi nombor satu negara memang layak untuk dia. Sampai sekarang tidak ada pengganti. Pada saya Siti Nurhaliza merupakan pengganti sebelum Sharifah Aini pergi (meninggal dunia) sebagai penyanyi tersohor.

Siapakah artis kini yang berbakat dalam bidang cipta lagu?

Sekarang saya rasa komposer paling berbakat adalah Hael Husaini. Kalau saya masih bekerja bersama EMI, saya akan ambil dia jadi pembantu sebab dia ada ‘taste’ (cita rasa) dan bakat.

Pada saya, walaupun dia belum ada identiti dari segi suara seperti saya mahukan tetapi sebagai komposer Hael berbakat.

Apakah pengalaman kerja terindah dalam bidang seni dan sebagai komposer?

Semua saya ingat. Mereka yang menjayakan hasil kerja saya semua saya ingat. Tiada kenangan khusus.

Saya bertuah kerana perjalanan dalam bidang seni sudah diatur. Alhamdulillah, saya jumpa orang yang betul, saya masuk tempat yang betul.

Saya nikmati perjalanan hidup. Saya buat kerja yang saya suka. Tidak semua orang dapat kerja yang dia suka. Walaupun ada masalah, itulah cabaran yang perlu dihadapi.

 


Pengarang :