BERITA UTAMA PBT SELANGOR

Serlahkan bakat fotografi anjuran MBSA, peluang menang hadiah RM28,000

SHAH ALAM, 10 MEI: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menawarkan hadiah keseluruhan bernilai RM28,000 menerusi Pertandingan Fotografi Shah Alam 2022.

Orang awam berusia 18 tahun ke atas dipelawa menyertai pertandingan tersebut yang bermula sejak 15 Mac hingga 15 September ini, maklum ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awamnya.

Menurut Shahrin Ahmad, acara itu dianjurkan bagi memberi ruang dan peluang kepada masyarakat untuk menyerlahkan bakat mereka di samping mempromosi bandar raya Shah Alam melalui lensa fotografi.

“Peserta boleh mengambil foto di tempat menarik sekitar Shah Alam sama ada di lokasi pelancongan, bangunan, monumen, tasik, taman atau landskap.

“Pertandingan ini terbahagi kepada empat kategori iaitu bangunan atau mercu tanda, alam semula jadi, gaya hidup dan pemandangan malam,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Shahrin berkata pemenang akan dinilai melalui beberapa aspek berdasarkan tema, komposisi keaslian, kreativiti dan aplikasi teknik fotografi yang terbaik.

Beliau menjelaskan hadiah tempat pertama bagi setiap kategori akan memenangi wang tunai RM3,000 diikuti RM2,000 (tempat kedua) dan RM1,000 (tempat ketiga) serta saguhati RM200 kepada lima pemenang termasuk sijil penyertaan.

Borang pertandingan boleh dimuat turun secara dalam talian menerusi portal www.mbsa.gov.my atau mengambil secara terus di Tingkat G, Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam, Wisma MBSA Seksyen 14 Shah Alam.


Pengarang :