EXCO Generasi Muda Mohd Khairuddin Othman (tengah) bergambar bersama Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysa (JBPM) Selangor Norazam Khamis selepas berbincang cadangan melatih Sukarelawan Selangor (SERVE) di Balai Bomba dan Penyelamat Bukit Jelutong, Shah Alam pada 24 Mei 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOPILIHAN MINGGUANSELANGOR

SERVE Elit dijenamakan SERVE Rescue, dianggotai 100 sukarelawan terbaik

SHAH ALAM, 29 MEI: Sukarelawan Selangor (SERVE) Elit kini dikenali sebagai SERVE Rescue seiring fungsi pasukan itu untuk menyelamat dan membantu mangsa bencana.

EXCO Pembangunan Generasi Muda Mohd Khairuddin Othman berkata penjenamaan semula pasukan itu dipersetujui hasil perbincangan bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor.

“Kita bermesyuarat bersama bomba dan mereka berpandangan bahawa perkataan ‘rescue’ lebih sesuai dan rakyat berasa selamat,” katanya selepas merasmikan Kejohanan Selangor Martial Arts XTIV di Dataran Kemerdekaan Shah Alam di sini, hari ini.

Tambah Mohd Khairuddin, sasaran sukarelawan terlibat dalam SERVE Rescue seramai 100 individu menjelang November nanti.

“Senarai 100 individu sudah ada dan dalam peringkat tapisan oleh Majlis Sukan Negeri Selangor untuk memilih individu benar-benar layak dan terbaik.

“Selepas ditapis, nama sukarelawan akan diberikan kepada bomba untuk menjalani sesi latihan,” katanya.

Sebelum ini, Mohd Khairuddin memaklumkan sebanyak RM100,000 diperuntuk bagi menubuhkan pasukan SERVE Rescue.


Pengarang :