PBTSELANGOR

Shah Alam catat lebih 1,000 kes denggi, masyarakat disaran bersih kediaman

SHAH ALAM, 20 MEI : Sebanyak 1,351 kes demam denggi dicatatkan di kawasan pentadbiran Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) setakat April tahun ini.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam berkata pihaknya turut melakukan aktiviti semburan di 58,382 premis dan pemeriksaan di 2,248 kediaman, rumah kedai dan restoran sekitar Shah Alam.

“MBSA akan mengambil tindakan tegas dengan mengeluarkan kompaun terhadap premis yang didapati bersalah atas kesalahan membiak jentik-jentik mengikut Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171).

“Justeru, kita menyeru warga Shah Alam memastikan keadaan persekitaran kediaman masing-masing berada dalam keadaan bersih dan bebas daripada pembiakan jentik-jentik,” kata Shahrin Ahmad menerusi kenyataan.

Shahrin berkata MBSA menggalakkan penduduk mengambil masa sekurang-kurangnya 10 minit setiap minggu untuk memastikan kawasan persekitaran bersih dan kemas.

“Pemeriksaan secara berkala akan dilaksanakan di sekitar kawasan yang berpotensi sebagai tempat pembiakan jentik-jentik sama ada di perumahan, kilang, tapak binaan atau institusi pembelajaran,” katanya.

Bagi mencegah pembiakan jentik-jentik, masyarakat diminta menutup bekas tempat penyimpanan air bersih;
salin air serta basuh sehingga bersih pasu, alas pasu dan kolah mandi sekurang-kurangnya seminggu sekali; bersihkan saluran air hujan (salur bumbung) yang tersumbat serta masukkan ubat jentik-jentik ke dalam bekas yang tidak boleh ditutup.


Pengarang :