EXCO Pelaburan Dato’ Teng Chang Khim (tengah) bersama Ketua Pegawai Eksekutif Invest Selangor Berhad (Invest Selangor Dato’ Hasan Azhari (kiri) dan Ketua Pegawai Operasi SIDEC Loo Chuan Boon (kanan) memperkenalkan logo Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2022 di Pusat Konvensyen Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) pada 12 Mei 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONALPILIHAN MINGGUAN

SIBS 2022 sasar potensi jualan RM350 juta, tarik 30,000 pengunjung

SHAH ALAM, 12 MEI: Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2022 akan berlangsung pada 6 hingga 9 Oktober depan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

EXCO Pelaburan Dato’ Teng Chang Khim berkata sepanjang empat hari persidangan berlangsung, potensi jualan disasar sehingga RM350 juta selain mampu menarik kehadiran 30,000 pengunjung.

“SIBS kali ini merupakan program terbesar dan yakin nilai potensi dapat dicapai kerana berdasarkan pengalaman kita pernah menghampiri RM250 juta (2019).

“Program berjalan secara hibrid namun kami memfokuskan kehadiran secara fizikal,” katanya pada sidang media di Pusat Konvensyen MBSA di sini hari ini.

Sejak dianjurkan pada 2015, Chang Khim yakin program bakal menjadi peluang untuk Selangor mengukuhkan kedudukan sebagai destinasi pelaburan pilihan dan kompetitif di Asia.

“SIBS menyediakan rangkaian merentas pelbagai sektor untuk pelabur bertemu dan bekerjasama selain menggunakan negeri ini sebagai pintu masuk ASEAN.

“Program turut menyediakan persekitaran pelaburan dan perniagaan paling kondusif untuk Malaysia khususnya Selangor,” katanya.

SIBS tahun ini menampilkan enam acara utama iaitu Ekspo Antarabangsa Selangor (Makanan dan Minuman), Ekspo Antarabangsa Selangor (Perubatan)dan Ekspo Taman Perindustrian Selangor.

Bandar Pintar dan Ekonomi Digital Selangor; Ekspo Penyelidikan dan Pembangunan serta Inovasi Selangor dan Persidangan Perniagaan Asia turut diketengahkan.

Tahun lalu, Chang Khim memakluman SIBS merekodkan nilai transaksi mencecah RM1.13 bilion sepanjang tujuh tahun penganjurannya dengan menyediakan 2,951 tapak pameran buat peserta Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) selain menerima 95,451 pelawat dari dalam dan luar negara.


Pengarang :