Mahmud Mastam memberi makan arnab ketika Kembara Sukses Hijrah Selangor di Jalan Kebun, Shah Alam pada 8 Februari 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Skim i-Bisnes: Hijrah biaya dana hampir RM1 juta setakat akhir April

SHAH ALAM, 18 MEI: Yayasan Hijrah Selangor (Hijrah Selangor) membiayai dana berjumlah RM965,000 bagi skim i-Bisnes setakat akhir April lalu, kata eksekutif promosinya.

Mohd Ridhwan Asmara berkata jumlah itu memanfaatkan seramai 2,229 usahawan negeri ini yang memohon pinjaman antara RM1,000 hingga RM50,000 untuk mengembangkan perniagaan masing-masing.

Menurutnya, skim tersebut mendapat sambutan menggalakkan berikutan kadar keuntungan ditawarkan rendah iaitu empat peratus untuk pembiayaan bawah RM30,000, manakala RM31,000 ke atas (lapan peratus).

“Selain itu, ia terbuka kepada semua aktiviti perniagaan seperti peruncitan, pemakanan, perkhidmatan, pengangkutan, perniagaan dalam talian, penternakan, perikanan dan pertanian,” katanya ketika dihubungi.

Dalam pada itu, beliau menjelaskan sebanyak 19 permohonan ditolak berikutan aktiviti perniagaan diragui dan tidak wujud selepas pegawai pembiayaan mengadakan lawatan.

“Kita mengingatkan usahawan yang ingin memohon mana-mana skim pembiayaan disediakan Hijrah Selangor agar mematuhi syarat ditetapkan.

“Kita juga menyeru usahawan yang mempunyai sekurang-kurangnya Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) atau lesen perniagaan pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk memohon skim ini kerana syaratnya mudah, cepat dan tidak membebankan,” katanya menambah seramai 5,997 usahawan disasar mendapat manfaat itu sehingga akhir tahun ini.

Dato’ Menteri Besar ketika membentangkan Belanjawan 2022 negeri pada 26 November lalu mengumumkan beberapa penambahbaikan dalam skim pembiayaan Hijrah pada tahun ini.

Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan dana RM120 juta untuk pembiayaan kepada usahawan selain mewujudkan skim baharu yang menyediakan pinjaman sehingga RM100,000.

Skim pembiayaan ditawarkan Hijrah antaranya i-Bisnes, Zero to Hero, Niaga Darul Ehsan (NaDI), Go Digital, i-Lestari, i-Agro dan i-Bermusim.


Pengarang :