Pemain Malaysia, Muhammad Syafik Ismail (kiri) mengawal bola ketika menentang pasukan Thailand pada saingan Sukan Sea 2021 di Stadium Thien Truong, Nam Dinh pada 7 Mei 2022. Foto BERNAMA
AGENDA SUKANKINI

Skuad bola sepak B-23 ada ciri cipta kejutan di Sukan SEA Hanoi

HANOI, 11 MEI: Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin menyifatkan skuad bola sepak Bawah 23 Tahun (B-23) negara memiliki kriteria sebagai pasukan yang mampu mencipta kejutan di Sukan SEA ke-31, di sini.

Beliau berkata kejutan mampu dilakukan berdasarkan perancangan dibuat Ketua Jurulatih Brad Maloney dan prestasi pasukan muda negara sejak kempen Kelayakan Piala Asia B-23 2022 di Ulaanbaatar, Mongolia, Oktober tahun lepas.

“Pasukan ini ada ciri-ciri untuk boleh membuat kejutan ataupun berjaya di Sukan SEA, insya-Allah.

“Tetapi dalam bola sepak ini kita perlu berusaha dan kita berharap pasukan ini akan berjaya, saya ada keyakinan dekat situ,” katanya ketika ditemui pada sesi ramah mesra dan makan malam bersama media tempatan ke Sukan SEA di sini, semalam.

Beliau berkata Sukan SEA juga merupakan pentas terbaik buat anak buah Maloney membuktikan sesuatu menjelang pusingan akhir Piala Asia B-23 2022 yang dijadual berlangsung di Uzbekistan, Jun ini.

Setakat ini, Malaysia yang diundi dalam Kumpulan B berjaya melakar satu kemenangan selepas mengatasi Thailand dan akan turun berdepan Laos pada aksi kedua di Stadium Thien Truong di Nam Dinh, Vietnam malam ini.

Malaysia kemudian akan menamatkan saingan kumpulan berdepan Singapura Sabtu ini dan Kemboja pada 16 Mei dengan dua pasukan teratas akan layak ke peringkat separuh akhir.

– BERNAMA


Pengarang :