Ketua Kontinjen (CDM) Malaysia ke Sukan SEA Hanoi Datuk Nur Azmi Ahmad (berdiri, enam kiri) bergambar bersama atlet petanque ketika meninjau persiapan mereka yang akan bertanding di Sukan SEA Hanoi di Arena Petanque, Taman Pudu Ulu pada 21 April 2022. Foto BERNAMA
AGENDASUKANKINI

Skuad petanque tetap ke Hanoi walaupun status bertanding masih tanda tanya

SEPANG, 11 MEI: Meskipun status penyertaan beraksi pada Sukan SEA ke-31 masih menjadi tanda tanya rentetan permainan politik di peringkat pengurusan, perkara itu bagaimanapun tidak mematahkan semangat skuad petanque negara untuk tetap berangkat ke Hanoi, Vietnam hari ini.

Jurulatih skuad petanque negara Syed Ali Syed Akil berkata beliau dan semua lima atlet sedia ada mengharapkan terdapat keajaiban berlaku berhubung penyertaan mereka pada temasya sukan dwitahunan itu.

“Kita dah bersiap sedia dengan apa sahaja keputusan sebab kita percaya dengan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dan Majlis Sukan Negara (MSN) memainkan peranan mereka. Tapi saya yakin sepenuhnya memang boleh main. Jika tidak kita tak dibenarkan pergi (ke Hanoi) hari ini.

“Ini politik sukan dan kita tak boleh buat apa. Kalau boleh pihak atasan jangan jejaskan atlet sebab kerugian itu akan terkena kepada atlet,” katanya ketika ditemui pemberita di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) di sini hari ini.

Syed Ali berkata sejurus tiba, skuad kendaliannya akan dibawa melawat gelanggang petanque di sana bagi membuat penyesuaian venue pertandingan.

Sementara itu, atlet petanque lelaki negara Syed Akmal Syed Ali berkata beliau bersama atlet lain telah membuat persiapan dari sudut mental dalam menghadapi sebarang kemungkinan sama ada dibenarkan untuk bertanding atau sebaliknya.

Jelasnya, biarpun diheret dengan isu penyertaan kesemua atlet petanque ke Hanoi, Syed Akmal tetap optimis kem petanque mampu mencapai sasaran dua pingat emas ditetapkan.

“Apa-apa yang berlaku di bumi Vietnam saya serahkan kepada Allah, sekiranya boleh main kami akan berjuang sebaik mungkin dan kami akan pastikan boleh mencapai sasaran iaitu dua pingat emas,” katanya.

Baru-baru ini, skuad petanque negara dilaporkan tidak disenarai dalam saingan Sukan SEA kali ini rentetan permainan politik di peringkat pengurusan sehingga merencatkan sasaran pingat kontinjen negara.

Bagaimanapun semalam, menerusi laporan media tempatan, Ketua Kontinjen (CDM) Malaysia ke Sukan SEA Hanoi Datuk Nur Azmi Ahmad memberi jaminan pihak MOM telah menghantar rayuan berhubung penyertaan kem petanque negara kepada Persekutuan Sukan SEA (SEAGF) dan dijangka mendapat keputusan itu minggu ini.

Selain Syed Akmal, skuad petanque negara ke Sukan SEA turut diwakili Syed Afiq Fakhri Syed Ali, Sharifah Aqilah Farhanan Syed Ali, Nurul Hairah Hussin dan Athirah Sareh.

— BERNAMA


Pengarang :