Pasukan Sepak Takraw Kebangsaan meraikan kemenangan pada saingan liga sepusingan acara regu berpasukan sepak takraw lelaki pada temasya Sukan Sea di Pusat Sukan Hoang Mai hari ini. Foto BERNAMA
AGENDASUKANKINI

Skuad sepak takraw lelaki pertahan pingat perak regu berpasukan

Daripada Ahmad Nazrin Syahmi bin Mohamad Arif

HANOI, 15 MEI: Skuad sepak takraw lelaki negara berjaya mengawal tekanan beraksi di hadapan penonton tuan rumah untuk menewaskan Vietnam bagi membawa pulang pingat acara regu berpasukan Sukan SEA ke-31 pada aksi terakhir liga sepusingan di Pusat Sukan Hoang Mai di sini, hari ini.

Kejayaan dengan keputusan 2-1 itu menyaksikan skuad bimbingan Abdul Talib Ahmad mempertahankan pencapaian pada edisi 2019 di Filipina.

Skuad kebangsaan memulakan aksi dengan langkah cemerlang menerusi regu dibarisi Muhammad Faisal Mohd Fuad, Muhammad Noraizat Nordin dan Norfaizzul Abd Razak yang melakar kemenangan 21-15, 21-6 ke atas Dau Van Hoang, Ngo Huy Long dan Do Manh Tuan.

Pingat perak negara disahkan melalui kemenangan regu kedua Muhammad Zarif Merican Ibrahim Merican, Muhammad Afifuddin Razali dan Aidil Aiman Azwawi selepas menumbangkan Huynh Ngoc Sang, Nguyen Huy Quyen dan Tang Minh Khoa 21-17, 21-9.

Namun, beregu ketiga tuan rumah, Le Ang Tuan, Vuong Minh Chau dan Nguyen Tien Dat berjaya mencuri satu mata dengan kemenangan 24-25, 21-23 ke atas trio muda negara Muhammad Haziq Hairul Nizam, Muhammad Zulhusni Basri dan Muhammad Redwan Hakim Muhammad.

Perejam negara, Muhammad Noraizat gembira setelah berjaya mempertahankan kejayaan selepas pasukan mengharungi detik sukar impak pandemik Covid-19 selain pengorbanan berjauhan dengan keluarga menjelang sambutan Aidilfitri.

“Pertama sekali saya hendak ucap Alhamdulillah kerana dapat membawa perak buat negara. Saya pun hendak minta maaf kepada seluruh rakyat Malaysia dan keluarga (kerana ini saja dapat disumbangkan).

“Kejayaan ini juga sangat bermakna kerana sebelum ini tidak dapat menyambut hari raya dengan keluarga dan latihan di Janda Baik membuahkan hasil buat pasukan Malaysia,” katanya selepas perlawanan di sini, hari ini.

Dalam pada itu, pingat emas dimenangi Thailand sementara Vietnam dan Kemboja berkongsi gangsa.

Esok skuad negara akan menyambung semula cabaran dalam saingan acara antara regu dengan Malaysia memulakan kempen peringkat kumpulan menentang Thailand.

– BERNAMA


Pengarang :