Atlet lompat kijang lelaki negara Andre Anura Anuar bersama pingat emas yang dimenanginya pada Sukan SEA ke-31 di My Dinh National Stadium, Hanoi pada 17 Mei 2022. Foto BERNAMA
AGENDASUKANKINI

Sukan SEA: Andre tebus kecewa, tuai emas lompat kijang

HANOI, 17 MEI: Atlet olahraga negara Andre Anura Anuar berjaya mengubati bukan satu tetapi dua kekecewaan dihadapinya sebelum ini dengan merangkul pingat emas acara lompat kijang lelaki Sukan SEA ke-31 hari ini.

Kejayaan atlet muda Sabah berusia 22 tahun itu di Stadium Nasional My Dinh di sini turut memastikan kem olahraga menepati sasaran lima pingat emas pada temasya kali ini yang juga emas ke-22 Malaysia.

Di sebalik kekecewaan dialami apabila gagal menyumbang emas acara lompat jauh serta enam lompatannya dibatalkan, Andre Anura mencatat sejarah tersendiri dengan emas diraihnya hari ini selepas melakukan 16.51m, lompatan mengatasi catatan terbaik peribadi 16.09m dilakukan di Terbuka Malaysia Mac lepas.

Atlet Filipina Mark Harry Diones Aloto (15.87m) dan wakil tuan rumah Tran Van Dien (15.84m) masing-masing meraih perak dan gangsa manakala seorang lagi atlet negara Brendon Ting Li King (15.48m) menamatkan saingan di tempat ketujuh.

“Hari ini saya berpuas hati dapat tebus balik kekalahan lompat jauh dan bangga dengan catatan peribadi baharu. Saya kasihan dengan jurulatih (Ahmad Firdaus Salim), yang dua hari sedih, termenung kerana kami memang datang dengan harapan pingat emas.

“Jadi, pada hari ini saya dapat menang emas, terima kasih kepada jurulatih, rakan-rakan dan semua yang bantu saya,” katanya kepada pemberita.

Kejayaan itu turut memastikan Malaysia mempertahankan gelaran dimenangi Muhammad Hakimi Ismail sejak edisi 2015, selepas beliau tidak dapat menyertai edisi kali ini kerana masih dalam proses pemulihan selepas pembedahan.

Sementara itu, Norliyana Kamaruddin meraih gangsa acara heptatlon selepas berjaya mengumpul 5,262 mata di belakang peserta tuan rumah Nguyen Linh Na (5,415) dan Sarah Dequinan Noveno (5,381) dari Filipina.

Pemenang pingat perak acara lempar cakera wanita, Queenie Kung Ni Ting yang mencuba nasib dalam acara lontar peluru pula meraih tempat keenam dengan lontaran sejauh 11.63m.

Acara trek dan balapan akan bersambung esok dengan Nauraj Singh Randhawa dijangka mempertahankan emas acara lompat tinggi lelaki manakala Muhammad Azeem Fahmi dan Muhammad Arsyad Md Saat akan membawa cabaran pada acara 100m lelaki.

– BERNAMA


Pengarang :