Sukan SEA ke-31 bakal diadakan di Hanoi, Vietnam pada Mei 2022.
AGENDASUKANKINI

Sukan Sea: Atlet lompat tinggi layan TikTok hilangkan gementar

KUALA LUMPUR, 3 MEI: Setiap atlet mempunyai cara tersendiri untuk menenangkan diri selepas dilanda tekanan serta gemuruh sebelum berjuang dalam acara disertai.

Sesetengah atlet akan melakukan senaman ringan dan ada juga yang memilih mendengar muzik bagi meredakan debaran dirasai ketika menyertai sesuatu pertandingan.

Bagi atlet muda lompat tinggi wanita negara, Ngu Jia Xin, beliau yang bakal membuat penampilan sulung pada Sukan Sea di Hanoi, Vietnam bulan depan lebih gemar ‘melayan’ aplikasi popular iaitu TikTok sebagai platform baginya menghilangkan rasa gementar sewaktu beraksi dalam mana-mana kejohanan sebelum ini.

“Saya cukup teruja namun pada masa sama sangat tertekan dan takut sebab tak pernah beraksi di Sukan Sea sebelum ini.

“Namun, saya suka mendengar muzik di TikTok serta rehat banyak untuk bantu saya lebih relaks,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Biarpun bakal menjejakkan kaki buat kali pertama dalam temasya dwitahunan itu, Jia Xin berharap dapat menamatkan cabarannya dengan noktah kejayaan iaitu sekurang-kurangnya membawa pulang gangsa di Hanoi nanti.

Bukan itu sahaja, atlet berusia 21 tahun itu turut berhasrat dapat memperbaiki catatan peribadi terbaik sebelum ini iaitu 1.79 meter (m) yang dilakukan di Terbuka Perak pada 2019 dengan lompatan 1.8m di Vietnam.

Jia Xin yang mula berkecimpung dalam dunia olahraga sejak berusia lapan tahun lagi itu memaklumkan persiapannya ke Sukan Sea ke-31 setakat ini berjalan lancar.

Selain latihan di padang, beliau juga meningkatkan kekerapan berada di gimnasium sebanyak tiga kali seminggu berbanding sekali sebelum ini bagi menambah kekuatan fizikal.

Atlet dari Perak itu pada masa sama menjadikan idolanya yang juga juara Sukan Olimpik Tokyo 2020, Mariya Lasitskene dari Jawatankuasa Olimpik Rusia sebagai panduan dengan mempelajari teknik lompatan yang lebih sempurna di laman Youtube.

Berikut adalah profil Jia Xin:

Nama penuh: Ngu Jia Xin

Umur: 21 tahun

Tarikh lahir: 22 Sept 2000

Asal: Pantai Remis, Perak

Bilangan adik beradik: Dua (anak bongsu)

Hobi: Bermain bola keranjang

Pencapaian terbaik: Juara Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia ke-97 (1.67m)

Tempat ke-9 di Kejohanan Olahraga Remaja Asia 2018 di Jepun (1.65m)

-BERNAMA


Pengarang :