Selangorkini
Atlet renang kebangsaan Khiew Hoe Yean meraih pingat emas pada acara 200 meter (m) gaya bebas lelaki sempena temasya Sukan Sea 2021 di My Dinh Water Sports Stadium pada 18 Mei 2022. Foto BERNAMA
AGENDA BERITA UTAMA SUKANKINI

Sukan SEA: Atlet pamer aksi baik, lapan lagi capai sasaran 36 emas

SHAH ALAM, 19 MEI: Kontinjen Malaysia meneruskan misi memburu 36 pingat emas di Sukan SEA 2021 di Hanoi, Vietnam apabila mengutip 28 emas setakat ini.

Terbaharu, atlet menembak negara Johnathan Wong menyumbang emas selepas mengungguli peringkat akhir acara 10 meter Air Pistol lelaki hari ini.

Atlet negara menambah 18 emas selepas permulaan membanggakan skuad terjun cemerlang yang meraih lapan pingat itu dan satu dari pencak silat.

Skuad olahraga melengkapkan sasaran lima emas selepas hasil kejayaan dua atlet tukul besi, lompat bergalah, lempar cakera dan atlet lompat kijang.

Terdahulu, wushu memulakan pemburuan emas ke-10 dan 11 menerusi Clement Ting Su Wei bagi acara
Changquan (lelaki) manakala Tan Zhi Yan untuk acara Taijiquan (lelaki) pada 13 Mei.

Sukan gimnastik turut membawa keceriaan apabila Rachel Yeoh merangkul dua pingat emas dalam acara batang titian wanita dan palang tidak sejajar.

Malaysia juga menamatkan kemarau 21 tahun emas acara golf selepas meraih dua kejayaan menerusi acara individu pada 15 Mei dan berpasukan lelaki tiga hari kemudian.

Skuad bina badan juga menyumbang emas menerusi Mohd Syarul Azman Mahen Abdullah dalam acara Athletics Physique meski hampir terlepas melakukan penampilan sulung Sukan SEA apabila positif Covid-19 sejurus tiba di Hanoi.

Sukan berbasikal bukit melakar kejutan apabila menyumbangkan emas dalam acara rentas desa Olimpik campuran dengan mencatat 1 jam 23 minit dan 14 saat pada 17 Mei.

Lim Kok Leong pula menghadiahkan pingat emas ke-23 buat kontinjen Malaysia pada 17 Mei selepas memenangi snuker dan billiard 6 red perseorangan lelaki.

Karate kumite turut menghadiahkan tambahan dua emas buat hasil kejayaan Sureeya Sankar dan Shahmalarani Chandran manakala satu lagi disumbang perenang Khiew Hoe Yean pada 18 Mei.

 


Pengarang :