Pasukan bola sepak kebangsaan Malaysia Bawah 23 tahun ketika sesi latihan sempena Sukan Sea 2021 di Training Ground Palace Sports, Nam Dinh pada 5 Mei 2022. Foto BERNAMA
AGENDASUKANKINI

Sukan Sea: Malaysia tidak gentar, bersedia bertemu Thailand

NAM DINH, 6 MEI: Malaysia bersedia untuk memulakan kempen bola sepak lelaki Sukan SEA ke-31 dengan keputusan positif apabila bertemu tuan rumah Thailand dalam perlawanan pertama Kumpulan B di Stadium Thien Truong di sini, malam esok.

Ketua jurulatih pasukan kebangsaan Bawah-23 (B-23) Brad Maloney berkata walaupun pasukannya menghormati Thailand sebagai salah satu pasukan pilihan, tetapi itu tidak akan menghalang mereka untuk memberi persembahan terbaik bagi meraih tiga mata pertama yang sangat penting.

“Tentulah kita sangat menghormati Thailand, mereka adalah pasukan pilihan kejohanan dan telah banyak kali menjadi juara dalam kejohanan ini.

“Justeru dengan rasa hormat kepada Thailand dan atas sebab yang sama, pemain saya tidak gentar tanpa mengira siapa lawan mereka dan kami akan menghadapi perlawanan dengan sikap positif, saya rasa kami boleh mencapai keputusan positif,” katanya kepada pemberita semasa sidang media praperlawanan di sini hari ini.

Kali terakhir kedua-dua pasukan bertemu adalah pada Kelayakan Piala Asia B-23 2022 di Mongolia, Oktober tahun lepas, yang menyaksikan pengakhiran seri tanpa jaringan.

Sementara itu, mengulas mengenai senarai akhir 20 pemain bagi temasya dwitahunan itu, Maloney berkata beliau amat berpuas hati dengan kombinasi pemain lama dan baharu serta komitmen yang ditunjukkan mereka.

“Saya gembira dengan kumpulan ini, majoriti pemain, kami telah bekerjasama untuk dua atau tiga tahun sebelum ini dan kami juga mempunyai muka baharu, namun saya percaya ini adalah kumpulan pemain terbaik dalam umur ini (B-23) yang boleh didapati untuk pemilihan bagi kejohanan ini, saya berpuas hati dengan pemilihan tersebut,” katanya.

Dalam pada itu, ketua jurulatih pasukan tuan rumah yang juga mengendalikan skuad senior negara itu, Alexandre Polking berkata pasukannya akan menggunakan sistem yang sama seperti pasukan kebangsaan dalam misi mereka mengecap kejayaan di sini.

“Kami mahu bermain cara yang sama dalam Piala AFF.. maksud saya itu sepatutnya menjadi sasaran untuk semua kumpulan umur dalam pasukan kebangsaan sekarang.

“Kami sedang cuba untuk mendapatkan kaedah atau sistem yang sama dan kami mempunyai para pemain yang mempunyai ciri-ciri itu di sini, walaupun tanpa kehadiran beberapa orang daripada mereka,” katanya.

Polking berkata beliau tidak menganggap pasukannya sebagai pilihan dan berpendapat Vietnam dan Indonesia mempunyai potensi terbaik untuk muncul juara susulan persediaan yang telah mereka lakukan.

Selepas pertembungan dengan Thailand, Malaysia akan berdepan Laos pada 11 Mei, Singapura (14 Mei) dan Kemboja (16 Mei) di venue sama. Dua pasukan terbaik layak ke separuh akhir.

– BERNAMA


Pengarang :