Atlet wushu negara Clement Ting Su Wei beraksi dalam acara akhir Changquan Lelaki pada Sukan SEA ke-31 di Cau Giay Gymnasium, Hanoi pada 13 Mei 2022. Foto BERNAMA
AGENDASUKANKINI

Sukan SEA: MB ucap tahniah Clement menang emas wushu

SHAH ALAM, 13 MEI: Dato’ Menteri Besar mengucapkan tahniah kepada atlet wushu Clement Ting Su Wei yang memenangi pingat emas menerusi acara Changquan pada Sukan SEA ke-31 pagi tadi.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata Clement diangkat sebagai juara selepas menampilkan gaya persembahan yang memikat barisan juri.

“Sekalung tahniah buat Clement Ting Su Wei yang telah memenangi acara Changquan pada Sukan SEA Hanoi 2022 dengan catatan 9.70 mata.

“Teruskan prestasi anda Clement! #MalaysiaBoleh,” katanya menerusi Facebook hari ini.

Amirudin juga merakamkan tahniah kepada Tan Zhi Yan yang berjaya merangkul emas dalam acara Taijiquan.

Terdahulu, kem wushu negara tampil cemerlang apabila mencipta kejutan merangkul dua emas dan sebutir perak menerusi disiplin taolo pada hari pertama sukan itu dipertandingkan di Cau Giay Gymnasium, Hanoi.

Dua emas hadir daripada Clement dan Zhi Yan manakala perak Calvin Lee Wai Leong dalam acara nandao lelaki.


Pengarang :