Pemain badminton negara Chen Tang Jie (kiri) dan Peck Yen Wei bersama pingat emas yang dimenangi mereka dalam acara akhir beregu campuran pada Sukan SEA ke-31 pada 22 Mei 2022. Foto BERNAMA
AGENDASUKANKINI

Sukan SEA: Menang beregu campuran, Tang Jie-Yen Wei tamat kemarau 23 tahun skuad badminton

Daripada Vikneswaran Raman

BAC GIANG (Vietnam), 22 MEI: Akhirnya Chen Tang Jie-Peck Yen Wei berjaya menamatkan penantian selama 23 tahun Malaysia dalam memburu pingat emas beregu campuran Sukan SEA.

Pasangan ranking ke-29 dunia itu, meraih gelaran tersebut selepas bangkit bagi mengecewakan rakan senegara Hoo Pang Ron-Cheah Yee See 15-21, 19-21, 21-13 dalam pertarungan akhir yang cukup menarik dan bertenaga di Gimnasium Bac Giang di sini.

Sebagai pilihan kedua, Pang Yoo-Yee See memulakan perlawanan dengan garang bagi mendahului 11-5 dalam set pertama, seterusnya menang mata pertama 21-15 dalam masa 15 minit.

Selepas pertarungan sengit dalam set kedua, Tang Jie-Yen Wei, masing-masing berusia 24 dan 26 tahun, menyamakan kedudukan dengan kemenangan tipis 19-21 ke atas pasangan nombor 23 dunia itu.

Dengan pemenang perlu diputuskan menerusi set penentuan, Tang Jie-Yen Wei bangkit menyahut cabaran dengan kemenangan 21-13 yang diiringi sorakan kira-kira 2,000 penonton di arena tertutup itu.

Tan Jie-Yen Wei mara ke final selepas menyingkirkan pasangan Indonesia, Rinov Rivaldy-Pitha Mentari 20-22, 21-13, 21-18 manakala Pang Ron-Yee See melengkapkan kemenangan beregu Malaysia dengan menewaskan satu lagi gandingan Indonesia Adnan Maulana-Mychelle Crhystine Bandaso, 18-21, 21-16, 21-17 dalam separuh akhir, semalam.

Pasangan yang tewas dalam separuh akhir membawa pulang pingat gangsa.

Kali terakhir Malaysia meraih emas bagi beregu campuran dalam Sukan SEA ialah pada edisi 1999 di Brunei menerusi Chew Coon Eng-Chor Hoii Yee.

Sementara itu, dalam beregu wanita, Yee See yang berpasangan dengan Cheng Su Hui terpaksa berpuas hati dengan pingat gangsa selepas tewas kepada pasangan Thailand, Benyapa Aimsaard-Nuntakarn Aimsaard, 16-21, 6-21 dalam separuh akhir semalam, manakala pasukan lelaki merangkul perak pada Rabu lepas.

Dengan kemenangan tersebut, Malaysia mengakhiri kempen badminton di Sukan SEA ke-31 di sini dengan satu emas, dua perak dan satu gangsa.

Bagaimanapun, pemain muda negara kali ini gagal mempertahankan pingat emas bagi perseorangan lelaki yang dimenangi oleh Lee Zii Jia, perseorangan wanita (S. Kisona) dan beregu lelaki (Aaron Chia-Soh Wooi Yik) pada edisi 2019 di Filipina.

Pungutan 3-2-5 pada 2019 itu merupakan pencapaian terbaik negara dalam dekad ini, yang turut memastikan Malaysia muncul sebagai negara terbaik di gelanggang badminton Sukan SEA buat kali pertama sejak edisi 1975 di Bangkok.

– BERNAMA


Pengarang :