Pesilat negara Muhammad Taqiyuddin Hamid dan Sazzlan Yuga meraih emas acara seni ganda lelaki di Sukan SEA ke-31, Hanoi Vietnam pada 11 Mei 2022. Foto Facebook BERNAMA
AGENDASUKANKINI

Sukan SEA: Pesilat negara sumbang emas acara seni ganda

HANOI, 11 MEI: Aksi mantap dengan kepelbagaian teknik yang ditampilkan Mohd Taqiyuddin Hamid dan Sazzlan Yuga memberi kelebihan kepada gandingan pesilat negara itu untuk mempertahankan pingat emas acara seni ganda putra pada Sukan SEA ke-31 di sini hari ini.

Pasangan berkenaan mengungguli acara final tersebut yang berlangsung di Pusat Sukan Bac Tu Liem (Bac Tu Liem Sporting Center), setelah memperoleh 9.905 mata untuk menewaskan pencabar mereka dari Singapura, Muhammad Hazim Mohammad Zaque dan Muhammad Haziq Mohammad Zaque.

Pasangan adik-beradik itu mengutip 9.905 mata untuk meraih perak manakala gangsa milik bersama gandingan tuan rumah, Duc Danh Tran-Hong Que Le dan AbdulKarim Yusoh-Khairulmahadi Yusoh dari Thailand yang masing-masing terpaksa akur di peringkat separuh akhir semalam.

Kejayaan Taqiyuddin dan Sazzlan yang memenangi kategori tersebut pada Sukan SEA 2019 di Filipina, sekali gus memberikan pingat emas pertama Malaysia dalam acara pencak silat pada temasya sukan berkenaan kali ini.

Pencapaian juara dunia 2018 itu juga menghadiahkan emas ketujuh buat kontinjen Malaysia setelah acara terjun menyumbangkan enam pingat emas setakat ini.

Ketika ditemui pemberita selepas acara berkenaan, Sazzlan ternyata amat berpuas hati dengan kejayaan tersebut, sambil menyifatkan pencapaian itu melonjakkan semangat mereka untuk menampilkan aksi terbaik pada Kejohanan Pencak Silat Sedunia 2022 di Kuala Lumpur, Julai depan.

Sazzlan berkata selaku juara bertahan, beliau bersama Taqiyuddin turun tanpa rasa tekanan sebaliknya memberi sepenuh fokus untuk mempamerkan aksi terbaik hari ini.

“Kalau ikutkan, lebih berasa tekanan ketika berdepan gandingan tuan rumah, Vietnam semalam di peringkat separuh akhir. Jadi pada hari ini, kita hanya tumpu kepada persembahan kita dan tidak tengok aksi pihak lawan yang terlebih dahulu membuat persembahan,” katanya.

Kejayaan meraih pingat emas di Hanoi itu adalah ketiga buat Taqiyuddin yang sebelum ini mengungguli acara tersebut pada edisi 2017 di Kuala Lumpur berpasangan dengan Rosli Sharif sebelum mula bergandingan dengan Sazzlan pada temasya 2019 di Filipina.

— BERNAMA

 


Pengarang :