Selangorkini
Perenang negara Phee Jinq En beraksi acara 100 meter kuak dada wanita dan memenangi pingat perak ketika beraksi pada Sukan SEA ke-31, di My Dinh Water Sports Stadium, Hanoi pada 19 Mei 2022. Foto BERNAMA.
AGENDA SUKANKINI

Sukan SEA: Skuad renang raih satu emas, empat perak dan dua gangsa

HANOI, 19 MEI: Perenang Malaysia menutup aksi kurang memberangsangkan mereka di Sukan SEA Ke-31 hari ini dengan mengutip satu lagi pingat perak dan satu gangsa di Aquatic Sports Palace di sini.

Juara bertahan Phee Jinq En tewas dalam acara 100 meter (m) kuak dada wanita, gelaran yang dimenangi perenang negara sejak edisi 2015 di Singapura, dengan hanya memenangi perak kali ini.

Letitia Sim En Yi dari Singapura menang emas dengan catatan masa satu minit dan 8.79 saat (s) dengan Jinq En di tempat kedua (1:09.60s) manakala seorang lagi perenang Singapura Christie Chue gangsa (1:10.57s).

“Akhirnya saya menang pingat. Secara jujurnya saya ingat hanya boleh menang gangsa. Ini Sukan SEA terburuk saya.

“Tentu sekali masa (penamat) bukan lah yang terbaik, saya rasa sudah sampai masanya perenang muda di Malaysia ambil alih,” katanya selepas majlis penyampaian hadiah.

Sementara itu, pemenang pingat emas tunggal acara renang negara di Hanoi Khiew Hoe Yean, menang pingat keenamnya, gangsa bagi acara 800m lelaki, dengan catatan masa 8:06.71s.

Perenang tuan rumah mendominasi acara itu dengan Nguyen Huy Hoang (7:57.76s) menang emas, dan Nguyen Huu Kim Son (8:04.23s) menang perak, manakala seorang lagi perenang Malaysia Sebastian Soon (8:12.64s), menamatkan acara di tempat kelima.

Skuad renang negara menamatkan kempen kali ini dengan satu emas, empat perak dan dua gangsa, satu pencapaian terburuk dalam penyertaan akhir-akhir ini.

— BERNAMA


Pengarang :