Pemain sepak takraw kebangsaan Muhammad Noraizat Mohd Nordin melakukan rejaman ketika menentang pasukan Thailand pada perlawanan akhir antara regu sepak takraw lelaki pada Sukan SEA ke-31 di Pusat Sukan Hoang Mai pada 17 Mei 2022. Foto BERNAMA
AGENDASUKANKINI

Sukan SEA: Skuad takraw negara bermula baik, benam juara bertahan Indonesia

HANOI, 18 MEI: Skuad sepak takraw negara bermula dengan baik apabila membenam juara bertahan Indonesia dalam acara double pada Sukan SEA ke-31 di Gimnasium Hoang Mai di sini hari ini.

Pada aksi pertama Kumpulan E itu, gandingan Aidil Aiman Azwawi dan Muhammad Noraizat Mohd Nordin tidak berdepan masalah untuk ‘melibas’ pasangan Indonesia Muhammad Hardiansyah dan Saiful Rijal, 21-19, 21-8.

Kejayaan tersebut hampir pasti meletakkan skuad negara dalam kedudukan terbaik untuk mara ke peringkat separuh akhir apabila dijadual menentang Kemboja pada aksi terakhir peringkat kumpulan.

Sekiranya, Malaysia layak ke separuh akhir, sekurang-kurangnya pingat gangsa dalam genggaman kerana tiada perlawanan bagi penentuan tempat ketiga dan keempat.

Jurulatih negara, Abdul Talib Ahmad berkata berdasarkan prestasi ditampilkan, skuad negara mampu menjelmakan keputusan terbaik dalam acara tersebut pada temasya kali ini.

Beliau berharap anak buahnya kekal fokus menentang Kemboja dan menamatkan saingan peringkat kumpulan selaku juara.

“Berdasarkan pemerhatian, Laos bagus dalam acara double. Jadi, penting untuk kita muncul sebagai juara kumpulan E untuk berentap di peringkat separuh akhir,” katanya.

Kumpulan D terdiri daripada Laos, Filipina, Vietnam dan Myanmar.

Sebagai rekod, Malaysia tidak menyertai acara double pada edisi 2019 di Manila, Filipina. Pada Sukan SEA 2017 di Kuala Lumpur, skuad negara meraih pingat gangsa acara berkenaan.

Pada Sukan Asia 2018 di Indonesia, Laos meraih perak dalam acara double.

– BERNAMA


Pengarang :