Foto Twitter BERNAMA
AGENDASUKANKINI

Sukan SEA: Skuad terjun capai sasaran, sapu bersih lapan emas

HANOI, 11 MEI: Kem terjun Malaysia membuktikan kehandalan mereka selepas menyapu bersih kesemua lapan pingat emas yang ditawarkan sukan itu di Sukan SEA ke-31 di sini.

Dalam acara terakhir hari ini, atlet terjun kesayangan negara Datuk Pandelela Rinong-Nur Dhabitah Sabri melengkapkan kemenangan Malaysia apabila mengungguli 10 meter (m) platform seirama wanita di Aquatic Sports Palace.

Gandingan itu mengumpul 292.14 mata selepas melengkapkan lima terjunan bagi merangkul emas kesembilan Malaysia di Hanoi, manakala pasangan kembar dari Singapura Ong Sze En-Ong Rei En membawa pulang perak dengan 225.42 mata.

Wakil tuan rumah Bui Thị Hong Giang-Mai Hong Hanh mencatatkan 185.25 mata di tempat ketiga, bagaimanapun tiada pingat gangsa diberikan memandangkan hanya tiga pasangan tersebut mengambil bahagian.

Nur Dhabitah, yang juga pembawa Jalur Gemilang, merupakan pemenang emas sulung negara di temasya tersebut menerusi acara 1m papan anjal Ahad lepas.

Terdahulu dalam acara 3m papan anjal lelaki, Muhammad Syafiq Puteh dan Gabriel Gilbert Daim meraih tempat pertama dan kedua bagi Malaysia.

Emas turut disumbangkan oleh Chew Yi Wei-Ooi Tze Liang dalam 3m papan anjal seirama lelaki, Tze Liang (1m papan anjal), Ng Yan Yee-Ong Ker Ying (3m papan anjal seirama wanita), Yan Yee (3m papan anjal wanita) dan Jellson Jabillin-Hanis Nazirul Jaya Surya (10m papan anjal seirama lelaki).

— BERNAMA

 


Pengarang :