Gandingan Chew Yi Wei-Ooi Tze Liang menyumbang emas kedua negara menerusi acara 3 meter papan anjal seirama lelaki dalam Sukan SEA ke-31 di Hanoi, Vietnam pada 8 Mei 2022. Foto Facebook BERNAMA
AGENDASUKANKINI

Sukan Sea: Skuad terjun negara terus cemerlang, sumbang emas kedua

HANOI, 8 MEI: Seperti dijangka, pasangan negara Chew Yi Wei-Ooi Tze Liang tidak berdepan masalah menghadiahkan pingat emas kedua Malaysia di Sukan SEA ke-31 selepas mengungguli final acara 3 meter (m) papan anjal seirama lelaki di Pusat Akuatik My Dinh di sini, hari ini.

Kejayaan itu menyaksikan Yi Wei-Tze Liang berjaya mempertahankan pingat emas yang dimenangi pada edisi 2019 di Filipina.

Pada saingan hari ini, gandingan negara berjaya mengumpul 395.79 mata dalam enam terjunan untuk mengatasi pasangan tuan rumah, Nguyen Tung Duong-Phuong The Anh yang terpaksa berpuas hati dengan perak selepas mengutip 305.64 mata.

Tiada pemenang pingat gangsa apabila hanya dua negara bertanding dalam acara itu.

Pingat emas dimenangi Yi Wei-Tze Liang adalah emas kedua Malaysia pada temasya sukan dwitahunan itu berikutan kejayaan penerjun Nur Dhabitah Sabri merangkul emas acara 1m papan anjal individu wanita pada satu lagi final hari ini.

Esok, Tze Liang akan meneruskan cabaran kem terjun negara apabila bakal turun beraksi dalam acara 1m papan anjal individu lelaki di venue sama.

Sukan SEA ke-31 dijadual bermula dari 12 hingga 23 Mei ini dengan beberapa jenis sukan antaranya bola sepak dan terjun memulakan saingan lebih awal.

— BERNAMA

 

 

 


Pengarang :