Selangorkini
AGENDA SUKANKINI

Sukan SEA: Sureeya Sankar menang emas kumite 67kg

HANOI, 18 MEI: Atlet karate H Sureeya Sankar hari ini menghadiahkan pingat emas buat Malaysia menerusi acara Kumite dalam Sukan SEA ke-31 di Gimnasium Sukan Wilayah Ninh Binh, kira-kira 100 kilometer dari sini.

Sureeya beraksi cemerlang pada penampilan sulungnya di temasya itu dengan menewaskan peserta Indonesia Hutapea Tebing 5-3 dalam aksi final bawah 67 kilogram (kg) lelaki.

Beliau memulakan cabaran pada temasya Sukan SEA Hanoi dengan mencatat kemenangan 3-1 ke atas wakil tuan rumah Dang Hong Son dan menewaskan Manantan John Matthew Coronel dari Filipina 8-0 untuk layak ke final.

Sementara itu, S Prem Kumar yang meraih emas acara Kumite bawah 55kg pada edisi 2019 di Filipina, gagal meneruskan aksi cemerlangnya di Hanoi apabila sekadar meraih gangsa bersama peserta Filipina Jayson Ramil Macaalay Ordonez.

Beraksi dalam kategori bawah 60kg kali ini, Prem Kumar tumpas di peringkat separuh akhir kepada peserta Indonesia Adi Saputra yang meraih emas acara itu, manakala pingat perak milik wakil tuan rumah Van Hien Vo.

– BERNAMA


Pengarang :