Wendy Ng Yan Yee menang pingat emas dalam acara 3m papan anjal wanita dalam Sukan SEA ke-31 di Hanoi hari ini. Foto Facebook Bernama
AGENDASUKANKINI

Sukan SEA: Yan Yee dedikasikan pingat emas kepada ibunya

HANOI, 10 MEI: Atlet terjun wanita negara Ng Yan Yee mendedikasikan pingat emas dimenanginya pada Sukan SEA ke-31 kepada ibunya yang tercinta, bersempena Hari Ibu yang disambut pada Ahad lepas.

Yan Yee berkata ibunya adalah antara individu terpenting dan menjadi tulang belakang kepada perjalanan kariernya, sebagai seorang atlet.

Atlet berusia 29 tahun itu berkata pencapaian dilakarnya juga dikhaskan kepada semua ibu di dunia, yang banyak berkorban demi melihat anaknya mencapai kejayaan.

“Istimewanya pingat emas ini pertama sebab ia acara individu dan satu lagi sebab Hari Ibu, ia untuk ibu saya yang sentiasa menyokong saya walaupun dalam keadaan saya bersedih dan nak berputus asa. Semua orang tahu macam mana terjunan saya di (Olimpik) Tokyo, dan saya bersyukur kerana secara sedikit-sedikit ia kembali semula, walaupun saya sudah berusia.

“Ini juga (emas) untuk semua ibu-ibu, semua tahu bagaimana sukarnya menjadi seorang ibu, jadi saya berterima kasih yang kami di sini dan kami dapat meraih pingat emas, dan semua orang kekal selamat,” katanya ketika ditemui selepas saingan final 3 meter (m) papan anjal wanita di Pusat Akuatik My Dinh di sini, hari ini.

Pada saingan itu, Yan Yee menepati ramalan menewaskan tujuh pencabar lain untuk membawa pulang emas, sementara rakan senegara Ong Ker Ying meraih perak dan gangsa milik wakil Singapura Fong Kay Yian.

Ia adalah emas kedua peribadinya di temasya sukan dwitahunan itu, selepas menjuarai acara 3m papan anjal seirama bersama gandingan Ker Ying, semalam.

Mengulas lanjut, Yan Yee berkata beliau belum memikirkan perancangan pascatemasya Sukan SEA ke-31, namun telah memikirkan mengenai persiapan menghadapai Kejohanan Dunia di Budapest, Hungary bulan depan dan Sukan Komanwel Birmingham 2022, yang dijadual bermula dari 28 Julai hingga 8 Ogos ini.

“Saya akan teruskan latihan dan belajar macam biasa dan kita lihat bagaimana, sebab pandemik semuanya berubah dan Sukan Asia 2022 juga ditangguhkan, jadi selepas ini kita hanya berlatih untuk Sukan Komanwel dan Kejohanan Dunia,” kata penuntut Universiti Putra Malaysia (UPM) dalam jurusan pemakanan itu.

– BERNAMA

 


Pengarang :