BERITA UTAMASELANGOR

Sultan, Permaisuri Selangor zahir takziah pemergian Douglas Kim Kiu Lee

SHAH ALAM, 5 MEI: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor dan DYMM Tengku Permaisuri Selangor menzahirkan takziah kepada keluarga mendiang Dato’ Dauglas Kim Kiu Lee yang meninggal dunia pada 1 Mei.

Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj dan Tengku Permaisuri Norashikin turut berdukacita atas pemergian anak sulung mantan Menteri Pengangkutan dan Kewangan Tun H.S. Lee pada usia 98 tahun.

Menurut Facebook Selangor Royal Office, Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah mengurniakan gelaran Dato’ Diraja Selangor Dato’ Jaya Kesuma kepada bekas ahli politik dan perniagaan itu pada 1975 atas jasa dan baktinya.

Dauglas Kim dilahirkan pada Disember 1923 dan pernah menjadi pengarah The International Association of Lions Club.

Mendiang juga merupakan bekas ahli parlimen Salak dan menjadi calon termuda MCA ketika bertanding Pilihanraya Majlis Perbandaran Kuala Lumpur pada 1952.

Isteri mendiang, bekas setiausaha agung Persatuan Bulan Sabit Merah Datin Paduka Ruby Lee meninggal dunia pada 2009 turut dikurniakan Darjah Kebesaran Dato’ Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah pada 1985.


Pengarang :