Anugerah Rumah Pemulihan Riqab terbaik tahun 2021 diterima daripada Majlis Agama Islam Selangor (Mais) pada April lalu. Foto Facebook Rumah Puteri Aafiah
AGENDABERITA UTAMASELANGOR

Sumbangan pelbagai pihak bantu Rumah Puteri Arafiah naik taraf kemudahan

SHAH ALAM, 27 MEI: Beberapa kemudahan di pusat perlindungan Rumah Puteri Arafiah (RPA) berjaya dinaik taraf hasil sumbangan pelbagai pihak termasuk anak syarikat Kerajaan Negeri.

Pengurusnya Zaharah Abu Bakar berkata penambahbaikan itu membolehkan penghuni menjalani kehidupan yang selesa dan lebih bermotivasi untuk berubah.

“RPA membeli tilam, bantal dan lokar baharu hasil sumbangan dana daripada Permodalan Negeri Selangor Berhad serta Majlis Agama Islam Selangor.

“Dalam masa sama Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor menyumbang 14 kipas untuk kediaman. Pelatih lebih selesa berehat selepas menjalani jadual yang padat waktu siang,” katanya berucap di majlis Rumah Terbuka Aidilfitri di sini hari ini.

Penaung RPA Tengku Putri Datin Paduka Hajjah Arafiah Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz turut berkenan memeriahkan majlis.

Berikutan itu Zaharah menghargai segala bantuan dan sumbangan dihulurkan pelbagai pihak.

RPA adalah pusat jagaan dan perlindungan remaja perempuan bawah 21 tahun anjuran Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor (Pekawanis) sejak 2011.

Pusat itu dijadikan tempat membimbing dan memberi perlindungan kepada remaja bermasalah menerusi penekanan elemen pembangunan modal insan juga rohani.


Pengarang :