Selangorkini
Tabung Wakaf Air membiayai projek perkhidmatan air berskala kecil di seluruh negara dengan kerjasama Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDA NASIONAL

Tabung wakaf bantu penduduk dapat bekalan air bersih

PENDANG, 27 MEI: Sejumlah RM930,978 dana dikumpul Tabung Wakaf Air telah diagihkan bagi membiayai 23 projek perkhidmatan air berskala kecil di seluruh negara bagi tempoh Dis 2020 hingga 15 Mei lepas.

Timbalan Menteri Alam Sekitar dan Air Datuk Mansor Othman berkata agihan tertinggi diberikan kepada Kelantan iaitu RM332,281 bagi membiayai tujuh projek diikuti Pahang yang menerima RM248,175 untuk lima projek.

Selain itu, tiga projek dilaksanakan di Selangor membabitkan agihan dana sebanyak RM102,652; tiga projek di Kedah (RM102,343); tiga projek di Perak (RM100,750); satu projek di Johor (RM34,776) dan satu projek di Negeri Sembilan (RM10,000).

“Sebanyak 19 projek masih dalam pelaksanaan yang dijangka siap pada bulan depan hingga Julai ini akan memanfaatkan lebih 12,000 penduduk berdepan masalah bekalan air sekian lama di seluruh negara.

“Projek ini khusus memberi khidmat kepada masyarakat yang perlukan bekalan air dan kita bekerjasama dengan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dalam hal ini,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan tinjauan Projek Wakaf Air di Kampung Padang Durian, di sini hari ini.

Sementara itu, Mansor berkata Tabung Wakaf Air yang dilancarkan pada 17 Dis 2020 berjaya mengumpul kutipan hampir RM4 juta dengan baki terkini berjumlah lebih RM3 juta.

Tabung itu adalah inisiatif Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) dengan kerjasama Yayasan Waqaf Malaysia (YWM) bertujuan menyediakan sumber pembiayaan alternatif projek-projek perkhidmatan air secara mudah, cepat dan mampan melalui instrumen berwakaf melangkau sempadan agama dan kaum.

“Tabung Wakaf Air adalah skim berstruktur yang menyediakan platform kepada banyak pihak untuk mengambil bahagian melakukan ibadah wakaf dalam sektor perkhidmatan air bagi mengumpul dana wakaf.

“Ia adalah untuk membiayai projek perkhidmatan air berskala kecil yang menelan kos di bawah RM50,000 seperti sistem pengepaman sumber air dari perigi, pembelian alat-alat ganti serta penyelenggaraan bersifat sekali beri,” katanya.

Mansor berkata pada tahun ini pihaknya menyasar untuk memperluas projek itu ke Sabah dan Sarawak dengan had siling pendana di bawah RM75,000 bagi setiap projek.

– BERNAMA


Pengarang :