Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) membaik pulih kawasan hakisan dan tanah mendap di Tanah Perkuburan Islam Kampung Tunku pada 11 Mei 2022. Foto ihsan MBPJ
PBTSELANGOR

Tanah kubur Kampung Tunku mendap, waris diminta hadir kenal pasti tapak

SHAH ALAM, 11 MEI : Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) melaksanakan kerja membaik pulih kawasan hakisan dan tanah mendap di Tanah Perkuburan Islam Kampung Tunku mulai semalam.

Unit Komunikasi Korporat MBPJ menerusi kenyataan memaklumkan kerja pembaikan sementara dibuat dengan menambah tanah di kawasan terjejas, pembersihan sisa binaan dan memasang semula kepuk yang rosak.

“Bagaimanapun, kami menyeru kerjasama pihak waris untuk hadir ke Pejabat Tapak, Tanah Perkuburan Islam Kampung Tunku, Petaling Jaya bagi membuat pengecaman atau pengesahan tapak.

“Justeru, waris boleh hadir mulai hari ini sehingga 17 Mei depan mulai jam 8 pagi hingga 4 petang,” maklumnya di Facebook.

Menurut pihak berkuasa tempatan (PBT) itu, langkah jangka masa panjang yang dilaksanakan antaranya melibatkan pembaikan dan pembersihan saliran, membina pejalan kaki dan membaik pulih pagar konkrit.

“Namun, kerja-kerja ini akan dibuat secara sebut harga melalui lantikan kontraktor,” katanya.

Sebarang pertanyaan orang ramai boleh menghubungi Jabatan Pembangunan Masyarakat (Perkhidmatan Perkuburan Dan Krematorium) MBPJ di talian 03-78737895 / 019-3842997 (Mat Afindi Mohamad).

Tanah Perkuburan Islam Kampung Tunku perlu dibaik pulih akibat hakisan dan tanah mendap. Foto ihsan MBPJ

Pengarang :