Sukarelawan Team Selangor memindahkan barangan elektrik ketika kerja membersihkan kediaman mangsa banjir di Hulu Selangor pada 17 Mei 2022. Foto Team Selangor
AGENSISELANGOR

Team Selangor bantu bersih rumah mangsa banjir Hulu Selangor

SHAH ALAM, 17 MEI: Seramai 60 sukarelawan Team Selangor turun padang ke daerah Hulu Selangor bagi membantu mangsa banjir membersihkan kediaman hari ini.

Ketua Sekretariat Syahaizel Keman berkata pasukannya turut dibantu beberapa pihak antaranya pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) serta kakitangan Kuil Sikh Gurdwara Sahib Kalumpang.

“Operasi pembersihan bermula 8.30 pagi hingga 6 petang. Pembersihan melibatkan mangsa di Kampung Jawa dan Kampung Pasir dekat Kerling.

“Setakat ini 15 rumah termasuk jenis projek perumahan rakyat serta surau dan balai raya berjaya dibersihkan. Kita harap bantuan tenaga ini meringankan beban mangsa,” katanya kepada SelangorKini.

Syahaizel berkata proses pembersihan berjalan lancar meskipun berdepan tekanan air rendah.

“Ahli bekerjasama dan saling membantu membersihkan lumpur. Ada juga yang membantu memindahkan perabut dan alat eletrik. Kita harap semangat ini berterusan pada masa akan datang,” katanya.

Hujan lebat lebih tiga jam bermula kira-kira 12 tengah hari semalam menyebabkan hampir 20 rumah di Hulu Selangor dinaiki air.

Pejabat Penerangan Hulu Selangor turut memaklumkan paras air sungai di Kuala Kubu Bharu, Kampung Pertak dan Batang Kali meningkat mendadak susulan jumlah hujan melebihi kadar biasa.


Pengarang :