Dato’ Seri Amirudin Shari (kanan) diiringi Datuk Seri Siti Nurhaliza melawat gerai CTDK Holdings selepas merasmikan Konvensyen Bandar Pintar dan Ekonomi Digital Selangor pada Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2021 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada 20 November 2021. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDAAGENSIBERITA UTAMANASIONALSELANGOR

Teknologi kesihatan elemen baharu Program Pemecut Selangor 2022

SHAH ALAM, 10 MEI: Perbadanan Teknologi Maklumat dan Ekonomi Digital Selangor (Sidec) mengajak syarikat pemula teknologi di negeri ini menyertai Program Pemecut Selangor (SAP) yang dibuka mulai hari ini.

Ketua pegawai eksekutifnya berkata SAP bagi tahun ini bertemakan Sifar Bersih, Kelestarian dan Ekonomi Pekeliling dengan penambahan elemen baharu iaitu teknologi kesihatan, selain teknologi pertanian, teknologi hijau, bandar pintar dan teknologi perbankan.

“Program ini bertujuan untuk membangunkan dan memperkasa syarikat tunas perintis khususnya di Selangor, serta memberikan sokongan dan bimbingan yang mereka perlukan untuk mendapatkan pembiayaan padanan berdasarkan keperluan dan latar belakang syarikat mereka.

“Sejak 2018, SAP telah memupuk 120 syarikat tunas perintis dengan kira-kira 34 peratus alumni SAP yang telah berjaya mengumpul dana dalam meningkatkan prestasi perniagaan mereka,” kata Yong Kai Ping menerusi kenyataan.

Mengenai pengenalan teknologi kesihatan sebagai elemen baharu dalam SAP, beliau berkata wabak yang melanda negara telah mendorong teknologi itu memainkan peranan yang lebih besar dan penting dalam industri penjagaan kesihatan di Malaysia.

“Kemunculan perkhidmatan kesihatan berasaskan teknologi telah mengubah cara orang ramai memberi penekanan kepada keperluan penjagaan kesihatan,” katanya.

Mereka yang berminat boleh mengemukakan permohonan sebelum 13 Jun 2022. Sebanyak 30 syarikat pemula yang disenarai pendek bakal memulakan program mereka dari 30 Jun hingga 9 September 2022.

Untuk maklumat lanjut boleh layari https://www.sidec.com.my/sap2022/


Pengarang :