AGENDABERITA UTAMASELANGOR

Tengku Permaisuri Selangor zahir sedih, dukacita tindakan zalim terhadap haiwan

SHAH ALAM, 19 MEI: Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin menzahirkan rasa amat sedih dan dukacita susulan beberapa kejadian terbaharu membabitkan kezaliman terhadap haiwan peliharaan serta terbiar.

Baginda yang juga Penaung Diraja Kempen Stray Free Selangor (SFS) turut menzahirkan perasaan kecewa kerana masih ada lagi individu yang tidak berperikemanusiaan dan tergamak berlaku kejam terhadap haiwan-haiwan secara terbuka.

Oleh itu, Baginda menggesa agar pihak berkuasa melakukan siasatan supaya pihak bertanggungjawab berjaya dikenalpasti dan dihadapkan ke muka pengadilan.

“Saya menyarankan agar mana-mana ahli masyarakat yang mempunyai maklumat atau menyaksikan kejadian seumpamanya supaya segera melaporkan kepada pihak berkuasa.

“Saya juga menyeru ahli masyarakat lebih prihatin, mempunyai perasaan belas kasihan dan terus menyemai sifat empati dan perikemanusiaan serta sayangkan haiwan peliharaan dan terbiar,” titah Baginda dalam satu kenyataan menerusi Facebook Selangor Royal Office, hari ini.

Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin adalah Penaung Diraja Kempen Stray Free Selangor (SFS). Foto Facebook Selangor Royal Office

Baru-baru ini, media melaporkan kejadian berasingan melibatkan beberapa ekor kucing peliharaan dan terbiar yang ditemui mati dipercayai diracun oleh individu tidak bertanggungjawab.

Justeru, Baginda mengingatkan bahawa kezaliman terhadap haiwan boleh dikenakan tindakan di bawah Akta 772 iaitu Akta Kebajikan Haiwan 2015.

“Akta 772 memperuntukkan beberapa seksyen khusus bagi kesalahan-kesalahan tersebut, iaitu Seksyen 29 untuk penganiayaan haiwan, Seksyen 30 (pembunuhan haiwan), Seksyen 31 (pemberian racun).

“Mereka yang didapati bersalah boleh dikenakan denda tidak kurang RM20,000 dan tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya,” titah Baginda.

Dalam pada itu, Baginda berharap kebajikan haiwan ini sentiasa diberi perhatian terutama keperluan persekitaran yang sesuai, dilindungi daripada ancaman penyakit serta keperluan mempamerkan corak kelakuan semula jadi.

Justeru, Baginda menggesa masyarakat dan para sukarelawan penyelamat haiwan untuk mengasi (neuter) kucing dan anjing terbiar agar haiwan ini tidak membiak dalam persekitaran yang tidak sesuai.


Pengarang :