Pemain badminton perseorangan lelaki negara Lee Zii Jia. Foto Facebook BAM
AGENDASUKANKINI

Terbuka Thailand: Lee Zii Jia mara ke pusingan kedua

BANGKOK, 18 MEI: Perseorangan lelaki negara Lee Zii Jia memulakan kempen Terbuka Thailand 2022 dengan kemenangan mudah ke atas Ade Resky Dwicahyo dari Azerbaijan di Impact Arena, di sini, hari ini.

Pilihan keenam kejohanan itu mengambil masa 36 minit untuk menewaskan pemain badminton Azerbaijan yang dilahirkan di Indonesia itu, 21-19, 21-9 dalam pusingan pertama.

Dalam set pertama, pemain berusia 24 tahun itu menguasai permainan namun diberi tentangan kuat sehingga terikat 15-15, sebelum ‘memecut’ untuk menang 21-19.

Dalam set kedua, Zii Jia memperkukuh serangan untuk meraih kemenangan 21-9.

Beliau akan berdepan pemain Jerman Kai Schaefer dalam pusingan seterusnya, esok.

Perseorangan profesional negara Liew Daren turut melangkah ke pusingan kedua dengan menewaskan Prannoy H S dari India 21-17, 15-21, 21-15 dalam perlawanan yang berlangsung selama 1 jam lima minit.

Daren akan bertemu Koki Watanabe dari Jepun pada pusingan seterusnya.

Sementara itu, perseorangan muda berpotensi negara Ng Tze Yong kalah kepada pemain Taiwan Wang Tzu Wei dalam rubber game.

Wang terpaksa berhempas-pulas selama 1 jam lapan minit untuk menundukkan Tze Yong 21-12, 13-21, 21-19.

Selain itu, beregu campuran profesional Goh Soon Huat-Lai Shevon Jemie turut melepasi pusingan pembukaan di kejohanan tersebut.

Pasangan itu mengambil masa 25 minit untuk mengalahkan Vinson Chui-Jennie Gai dari Amerika Syarikat 21-13, 21-12 dalam pusingan pertama.

Beregu pilihan keenam kejohanan itu akan bermain menentang Ishaan Bhatnagar dan Tanisha Crasto dari India pada pusingan seterusnya.

Bagaimanapun, satu lagi beregu profesional Tan Kian Meng-Lai Pei Jing juga gagal ke pusingan seterusnya setelah dikalahkan pasangan Jerman Jones Ralfy Jansen-Linda Efler 17-21, 21-16, 13-21.

Sementara itu, jaguh perseorangan wanita negara S Kisona tersingkir awal daripada kejohanan apabila tewas kepada Ruselli Hartawan dari Indonesia 21-14, 18-21, 19-21 dalam perlawanan 59 minit.

Sementara itu, pasangan beregu lelaki Aaron Chia-Soh Wooi Yik terpaksa bekerja keras untuk menewaskan pasangan Thailand Weeraphat Phakjarung-Wongsathorn Thongkham bagi meneruskan cabaran pusingan kedua esok.

Pasangan pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Tokyo itu mengambil masa 40 minit untuk menundukkan pasangan Thailand berkenaan dengan 13-21, 21-12, 21-9, dalam usaha menamatkan kemarau kejuaraan Jelajah Dunia mereka.

Pasangan berkenaan akan menentang pasangan Taiwan Lee Jhe Huei-Yang Po Hsuan pada pusingan kedua.

Sementara itu, pasangan beregu lelaki Nur Mohd Azriyn Ayub Azriyn-Lim Khim Wah tewas kepada Jeppe Bay-Lasse Molhede dari Denmark 15-21, 14-21.

– BERNAMA


Pengarang :