AGENDANASIONAL

Tiada perubahan cuaca melampau termasuk jerebu hingga Jun

SHAH ALAM, 18 MEI: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan tiada perubahan cuaca melampau termasuk jerebu hingga Jun berikutan negara baharu melalui proses peralihan monsun.

Timbalan Ketua Pengarah Strategik dan Teknikalnya Mohd Hisham Mohd Anip menjangka cuaca lebih kering dan panas dialami antara Julai atau Ogos ketika kemuncak Monsun Barat Daya, lapor Astro Awani.

“Ketika itu kita boleh jangka berlaku jerebu terutama jerebu tempatan. Andai kata berlakunya cuaca sama di Indonesia iaitu kering, maka kemungkinan berlaku jerebu rentas sempadan,” katanya.

Menyentuh taburan hujan lebat dan ribut petir di seluruh negara kebelakangan ini, beliau menjelaskan keadaan itu biasa ketika awal peralihan monsun dan bersifat sementara.

“Dalam beberapa hari lepas kita dapati ada ribut petir yang agak menyeluruh, namun melihat tinjauan cuaca seminggu ke hadapan, tiada cuaca signifikan berlaku,” katanya lagi.

Mohd Hisham menambah Semenanjung Malaysia diramal lebih banyak panas berbanding hujan manakala ribut petir lebih aktif di Sabah dan Sarawak.

 


Pengarang :