Selangorkini
Tokoh Wartawan Negara Tan Sri Johan Jaaffar bercakap pada sesi temu bual bersama media mengenai Hari Wartawan Nasional (Hawana) 2022 ketika di kediamannya di Bukit Gasing pada 25 Mei 2022. Foto BERNAMA
AGENDA NASIONAL

Tindakan kolektif pengamal media desak hapus akta kekang kebebasan

SHAH ALAM, 26 MEI: Wartawan perlu mengambil tindakan kolektif bagi mendesak kerajaan menghapuskan akta yang kuno, tidak relevan dan menyekat kebebasan media di negara ini.

Mengambil contoh Akta Mesin Cetak dan Penerbitan (PPPA) 1984 dan Akta Hasutan 1948, tokoh wartawan negara berkata kedua-duanya tidak lagi sesuai kerana tidak berfungsi dengan baik, lapor Astro Awani.

“Saya percaya setiap wartawan faham bahawa Malaysia adalah sebuah negara membangun, negara pelbagai kaum dan kita ada sensitiviti kaum, agama, kebudayaan dan sebagainya. Ertinya kebebasan itu bukan kebebasan mutlak dalam konteks kita boleh berbuat apa sahaja, kita faham.

“Saya juga percaya setiap wartawan di Malaysia dari mana pun mereka, mereka sedar dan faham tentang hal itu. Tetapi itu tidak bermakna kita tidak boleh membuat teguran kepada dasar, memberikan komentar dan sebagainya,” kata Tan Sri Johan Jaaffar.

Bercakap sempena sambutan Hari Wartawan Nasional 2022 Ahad ini, beliau yang juga mantan ketua pengarang Kumpulan Utusan berkata dunia kewartawanan semakin segar selepas 2018.

Justeru, beliau berpandangan industri media perlu menggunakan kesempatan itu untuk melakukan reformasi dalam aspek penyampaian berita dan menyuarakan teguran seperti dibuat Indonesia.

“Kita harus ingat apa yang berlaku di Indonesia pada 1998, apabila berlaku reformasi politik tetapi pada masa sama berlaku pembebasan media yang luar biasa, mereka mengecap nikmat kebebasan yang tidak pernah terfikir pun.

“Saya juga percaya setelah 2018 kita dapat melihat perubahan yang sangat jelas tentang keupayaan kerajaan atau mana-mana pemerintah untuk mengawal media,” katanya lagi.

Mengulas persepsi masyarakat bahawa wartawan hanya melaporkan bagi satu pihak sahaja, Johan berkata kewartawanan pada masa ini tidak boleh lagi mengikut format lama atau ‘slang’ politik.

Tambahnya, institusi penerbitan berita dan stesen televisyen yang dianggap membuat liputan daripada satu sudut sahaja juga telah ‘dihukum’ oleh pembaca dan penonton mereka.

“Bagi saya apa yang penting adalah sistem politik, orang politik atau kerajaan datang dan pergi. Namun, yang tidak ke mana-mana adalah wartawan.

“Pada akhirnya, kita bukan diukur dari segi sejauh mana sokongan kita kepada mana-mana parti politik atau institusi, tetapi kita diukur berdasarkan profesionalisme. Maka itu kita harus mendukung profesionalisme kewartawanan itu pada tahap yang tertinggi,” katanya lagi.


Pengarang :