Kakitangan LUAS mencium sampel air bagi mengesan pencemaran bau di muka sauk LRA Sungai Semenyih (Jenderam Hilir) pada 30 April 2022. Foto Facebook Lembaga Urus Air Selangor
AGENSISELANGOR

Tindakan pantas LUAS atasi pencemaran bau, elak henti tugas LRA

SHAH ALAM, 2 MEI: Tindakan pantas Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) mengawal aliran pencemaran diesel di Sungai Kabul berjaya mengelak potensi henti tugas Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih.

EXCO alam sekitar berkata pihaknya meletak dua beg Activated Carbon (serbuk karbon teraktif – AC) untuk nyahbau air daripada saliran dan satu unit oil boom di aliran premis terlibat sebagai langkah kawalan pencegahan pencemaran.

“Dalam masa yang sama, dua unit oil boom dan tujuh beg AC diletakkan di Sungai Kabul,” kata Hee Loy Sian menerusi kenyataan.

Tambah beliau langkah mitigasi susulan dan pemantauan rapi dari semasa ke semasa turut dijalankan LUAS bersama Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) bagi memastikan tiada pencemaran berlaku.

Jumaat lalu, LUAS menyiasat pencemaran bau seakan diesel dikesan di muka sauk LRA Sungai Semenyih (Jenderam Hilir) selepas menerima maklumat daripada Air Selangor.

LUAS menjelaskan, ketika ini pihaknya dan Air Selangor melaksanakan pemantauan statik di Sungai Semenyih untuk mengesan dengan lebih awal sekiranya berlaku pencemaran untuk mitigasi segera.

“Kekerapan pensampelan bau 24 jam oleh LUAS juga dipertingkatkan dengan sela masa 30 minit daripada sejam, selain rondaan di kawasan tumpuan yang dikenal pasti.

“LUAS dan pihak terlibat komited, serta siap siaga untuk memastikan tiada pencemaran berlaku sepanjang musim perayaan Aidilfitri yang boleh menyebabkan gangguan bekalan air kepada pengguna.” katanya.


Pengarang :