Arca River Lights yang dihasilkan artis Suzy Sulaiman di Melaka. Foto ihsan laman sesawang Suzy Sulaiman
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Tourism Selangor anjur festival pertukangan, iktiraf pembuat kraftangan

SHAH ALAM, 17 MEI: Agensi pelancongan negeri menganjurkan Festival Pertukangan Selangor 2022 – TUKANG bagi mengiktiraf pembuat kraftangan yang banyak menyumbang kepada perkembangan seni kraftangan negara.

Tourism Selangor berkata projek digerakkan Jabatan Pembangunan Industri bermula 12 Mei lalu menarik minat artis, pereka, pembuat kraftangan dan wakil dari organisasi.

“TUKANG digambarkan sebagai seorang yang berkemahiran dalam pembuatan kraftangan yang juga merupakan simbol warisan negara.

“Kemahiran mereka menghasilkan produk kraf yang harmoni dengan reka bentuk menarik melambangkan kemahiran mereka dalam seni pertukangan ini,” kata agensi itu dalam kenyataan.

Menurut Tourism Selangor peserta akan menyertai bengkel dalam talian secara percuma melalui pautan www.shorturl.at/jxINU pada 19 Mei dan 2 Jun ini dari jam 8 pagi hingga 10 malam.

Tarikh akhir serahan kertas kerja pula pada 12 Jun manakala peserta yang disenarai pendek akan dipanggil untuk menjalani temuduga kedua.

“Setiap penyertaan yang berjaya akan menerima RM 10,000 bagi menghasilkan produk atau hasil kraftangan tersebut.

“Peserta juga berpeluang mempamerkan hasil kerja mereka di festival berkenaan selain turut dipromosikan di laman sesawang dan media sosial Tourism Selangor,” katanya.


Pengarang :