Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (tengah) menyaksikan penyerahan cek cura berjumlah RM7 juta untuk pelaksanaan Program Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS) di Dewan Jubli Perak, Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 20 Mei 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

Tuisyen percuma diperluas ke sekolah bawah Jais, tumpu pelajar B40

SHAH ALAM, 20 MEI: Program Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS) kini diperluas kepada sekolah berdaftar di bawah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata keputusan memperluaskan pelaksanaan tuisyen percuma berikutan terdapat keperluan dan permintaan pelbagai pihak untuk menyertai program itu.

“Mereka juga memerlukan program tambahan dan kita membantu untuk melaksanakannya. Dana diberikan untuk membiayai guru-guru dan kelas tambahan.

“Dianggarkan tambahan sekolah pada tahun ini adalah sebanyak 28 buah sekolah. Malah, lima subjek juga diajar iaitu bahasa Melayu, bahasa Inggeris, matematik, sejarah dan sains,” katanya.

Beliau ditemui pada program sambutan Hari Guru 2022 dan pelancaran PTRS di Dewan Jubli Perak, Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini, hari ini.

Tambah Amirudin, lebih 100,000 pelajar menerima manfaat sejak inisiatif tersebut diperkenalkan pada 2008.

“Hasrat pelaksanaan program ini adalah untuk mengurangkan jurang antara mereka yang cemerlang dan terpinggir selain membantu pelajar serta golongan B40.

“Kini yang membanggakan program ini dapat melahirkan pelajar cemerlang dan sebahagiannya berjaya melanjutkan pengajian peringkat universiti,” katanya.

Dato’ Menteri Besar ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2022 negeri pada 26 November tahun lalu, mengumumkan peruntukan sebanyak RM7 juta untuk meneruskan PTRS tahun ini.

Peruntukan itu antaranya bagi memantapkan pengisian portal ePTRS.my dan mengukuhkan kemahiran guru.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bergambar wakil pejabat pendidikan daerah dan guru sempena sambutan Hari Guru dan pelancaran Program Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS) 2022 di Dewan Jubli Perak, Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam Pada 20 Mei 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Pengarang :