Pegawai Operasi I-Seed daerah Klang L Kanmani (kanan) menyampaikan sumbangan mesin jahit bernilai RM4,300 kepada M Amalorpavamary pada 19 Mei 2022. Foto I-Seed
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Tujuh usahawan India di Klang terima bantuan alatan I-Seed lebih RM34,000

SHAH ALAM, 29 MEI: Tujuh usahawan India di Klang memperoleh bantuan alatan bernilai RM34,200 menerusi program Indian Selangor Empowerment and Entrepreneurs Development (I-Seed) pada bulan ini.

Pegawai Operasi I-Seed daerah Klang berkata sumbangan pertama diberikan kepada pengusaha bakeri, R Thanalatchumy iaitu mesin ketuhar kek bernilai RM4,400 pada 10 Mei lalu.

“Bantuan kedua juga pada hari sama kepada peniaga air tebu, R Ganasan iaitu mesin tebu bernilai RM6,000.

“Manakala yang ketiga pula pemberian mesin jahit tepi berjumlah RM3,600 diberikan kepada tukang jahit, V Ragu pada 11 Mei,” kata L Kanmani menerusi Facebook.

Sumbangan keempat pula katanya melibatkan peniaga percetakan, P Kesamah dengan tiga peralatan berkaitan kerja mencetak bernilai RM5,100 juga pada 11 Mei.

“Pada 12 Mei pemberian mesin cetak bernilai RM5,800 kepada peniaga A Yogendran dan sumbangan mesin jahit pada 19 Mei bernilai RM4,300 diberikan kepada M Amalorpavamary.

“Bantuan terakhir diserahkan kepada pemilik salon, A Ganggeswary iaitu jakuzi kaki berjumlah RM5,000 pada 20 Mei,” katanya.

Sebelum ini EXCO pembangunan sosio ekonomi berkata sejumlah RM1 juta diperuntuk untuk menjayakan inisiatif itu yang disalurkan terus kepada penerima tanpa melalui orang tengah atau lantikan syarikat.

V Ganabatirau berkata lebih 250 permohonan untuk menyertai program I-Seed diluluskan setakat ini.

Permohonan boleh dibuat menerusi ketua komuniti atau ketua kampung. Mesyuarat bersama Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) akan menilai dan meluluskan pemohon yang layak.


Pengarang :