Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah (kanan) berkenan bertitah ketika merasmikan Klinik Sejahtera Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) sempena Majlis Sambutan Syawal (Raya@IIUM) Peringkat Universiti di Pusat Aktiviti UIAM Kampus Gombak pada 30 Mei 2022. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Tunku Azizah ingatkan waspada penyakit berjangkit

KUALA LUMPUR, 30 MEI: Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah mengingatkan orang ramai supaya lebih berwaspada terhadap penularan penyakit berjangkit dengan yang terbaharu, wabak cacar monyet.

Ketika menzahirkan kebimbangannya, baginda turut menyeru orang ramai supaya lebih peka dengan situasi semasa dan pada masa yang sama sentiasa mengamalkan kebersihan diri terutamanya kanak-kanak.

“Walaupun kita dah beralih dari fasa pandemik ke endemik, namun masih ada lagi penyakit lain, jadi menjadi tanggungjawab untuk kita menjaga diri sendiri,” katanya dalam ucapan ringkas selepas merasmikan Klinik Sejahtera UIAM di sini hari ini.

Cacar monyet adalah disebabkan oleh jangkitan ‘orthopoxviruses’ dan virus itu dijangkiti kepada manusia melalui gigitan (haiwan yang dijangkiti) atau sentuhan langsung dengan darah haiwan atau cecair badan haiwan yang dijangkiti.

Virus cacar monyet telah menyerang beberapa negara termasuk Kanada, Sepanyol, Portugal, Sweden, Perancis, Itali, Amerika Syarikat, Switzerland dan Austria.

Terdahulu, Raja Permaisuri berkenan berangkat ke Majlis Sambutan Syawal Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (Raya@IIUM) yang berlangsung di Dewan Utama, Pusat Aktiviti UIAM yang turut dihadiri kira-kira 3,000 warga UIAM.

Baginda yang juga Ketua Perlembagaan UIAM, turut berkenan berangkat melawat klinik yang terletak di Bangunan Kulliyyah Pendidikan UIAM itu yang telah lengkap pengubahsuaiannya pada Mac 2022.

Klinik itu kini mempunyai sebanyak enam bilik konsultasi dan rawatan yang luas untuk merawat pesakit dan mempunyai kelengkapan Makmal Klinik, Farmasi, Radiologi, bilik rawatan dan klinik gigi.

Hadir sama, ialah Presiden UIAM Tan Sri Dr. Mohd Daud Bakar dan Rektor UlAM Prof Emeritus Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak.

– BERNAMA


Pengarang :