Selangorkini
Pekerja warung dihadapkan ke mahkamah kerana menggunakan wang palsu.
AGENDA NASIONAL

Ubah wang haram lebih RM1 juta, pengarah syarikat sarung tangan didakwa

SHAH ALAM, 27 MEI: Seorang pengarah syarikat jual beli sarung tangan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen hari ini atas 14 pertuduhan pengubahan wang haram lebih RM1 juta, dua tahun lepas.

Mazne Che Mohd Amin, 32, didakwa memindahkan RM1.33 juta daripada akaun bank syarikatnya, NMOQ Trade Sdn Bhd, menerusi 14 transaksi yang merupakan hasil daripada aktiviti haram, kepada sembilan akaun bank milik syarikat lain serta lima akaun perseorangan termasuk dua miliknya.

Wanita itu dituduh melakukan semua perbuatan tersebut di cawangan sebuah bank di Sungai Besi, dekat sini antara 9 Sept hingga 17 Okt 2020.

Pertuduhan mengikut perenggan 4(1)(b)Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan Dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 dan dibaca bersama subseksyen 87(1), yang boleh dihukum di bawah subseksyen 4(1) akta sama dan dibaca bersama perenggan 87(1) (a) akta serupa.

Sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 15 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai hasil aktiviti haram atau RM5 juta, mengikut mana lebih tinggi.

Timbalan Pendakwa Raya Noor Zalizan Lazarous menawarkan jaminan RM50,000 dengan seorang penjamin dan pasport diserahkan kepada mahkamah.

Beliau turut memohon kesemua pertuduhan itu dibicarakan bersama dengan satu kes menipu di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan di Mahkamah Sesyen 11 di sini.

Peguam Luqman Mazlan yang mewakili Mazne memohon jaminan dikurangkan kepada RM20,000 dan anak guamnya akan akur dengan syarat-syarat jaminan lain.

Hakim Helina Sulaiman menetapkan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin serta pasport diserahkan kepada mahkamah dan mengarahkan tertuduh melaporkan diri di balai polis setiap bulan.

Helina membenarkan kes pengubahan wang haram itu dipindahkan ke Mahkamah Sesyen 11 dan menetapkan 13 Jun untuk sebutan semula kes.

-BERNAMA


Pengarang :