Pengembara dari negara endemik cacar monyet akan menerima amaran kesihatan menerusi MySejahtera selama 21 hari untuk pemantauan kendiri. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Vaksin cacar monyet hanya untuk kontak rapat, pekerja kesihatan

SHAH ALAM, 26 MEI: Kementerian Kesihatan tidak bercadang untuk melaksanakan program imunisasi besar-besaran bagi kes jangkitan cacar monyet, kata menterinya Khairy Jamaluddin.

“Kalau perlu vaksinasi sekalipun, hanya diberikan kepada mereka yang merupakan kontak rapat pesakit cacar monyet dan pekerja kesihatan yang merawat mereka.

“Buat masa ini, belum sesuai untuk imunisasi secara massa, hanya kepada kelompok sasaran sahaja,” katanya pada sidang akhbar secara maya dari Switzerland hari ini.

Khairy berkata, bermula esok, aplikasi MySejahtera akan mengeluarkan amaran kesihatan kepada pengembara dari negara endemik cacar monyet atau negara yang melaporkan jangkitan itu.

“Amaran itu dikeluarkan setiap hari selama 21 hari sebagai peringatan untuk membuat pemantauan kendiri.

“Bukan itu sahaja, kita juga telah gerakkan pasukan kesihatan di pintu masuk antarabangsa dan meminta Jabatan Imigresen memaklumkan segera sekiranya ada tanda-tanda jangkitan itu pada pengembara,” katanya.

Terdahulu, Ketua pengarah kesihatan memaklumkan keputusan ujian Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan (MKAK) mengesahkan seorang kanak-kanak berusia tiga tahun menghidap penyakit HFMD dan bukannya dijangkiti wabak cacar monyet.

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata keputusan ujian ke atas kanak-kanak itu adalah positif virus Coxsackie A6 dan negatif cacar monyet serta lain-lain virus yang diuji.


Pengarang :