BERITA UTAMAPERSONALITIRENCANA

Wakil rakyat Permatang gigih bela petani, didik wanita

Cubaan pertama kali bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang bawah Parlimen Tanjong Karang pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) membawa kejayaan buat Rozana Zainal Abidin.

Beliau yang bertanding atas tiket Pakatan Harapan (HARAPAN) memperoleh 9,208 undi menewaskan Sulaiman Abdul Razak daripada Barisan Nasional (BN) yang mendapat 8,050 undi dalam saingan tiga penjuru.

Berbekal pengalaman sebagai pegawai penyelaras DUN berkenaan sejak 2013, pemegang ijazah percukaian dari Universiti Putra Malaysia (UPM) tidak berdepan masalah untuk berkhidmat kepada rakyat.

Wartawan Zareef Muzammil menemu bual wakil rakyat ini di pejabat pusat khidmat masyarakat Permatang pada 23 April.

Bagaimana kerjaya terdahulu membantu tugasan harian sebagai wakil rakyat?

Saya bertugas sebagai pegawai penyelaras DUN Permatang dari 2013 hingga menjelang pilihan raya umum ke-14 iaitu Mei 2018. Sepanjang tempoh itu, banyak tanggungjawab dimainkan antaranya bertemu rakyat dan paling utama menyelesaikan masalah yang dibangkitkan mereka.

Sebenarnya tugas penyelaras sama sahaja seperti Ahli Dewan Negeri (ADN), kami dipanggil untuk turut serta dalam mesyuarat tindakan daerah, cuma tidak masuk ke sidang Dewan Negeri Selangor (DNS). Saya tidak menafikan kerjaya tersebut banyak membantu tugas sekarang kerana kita perlu usahakan keperluan rakyat terutama aspek bantuan.

Berapakah jumlah pengundi baharu di Permatang?

Ketika saya bertanding pada PRU lalu, Permatang memiliki 23,000 pengundi. Namun selepas undi automatik diperkenal, angka tersebut meningkat kepada 31,000. Ini bermakna seramai 8,000 pengundi baharu di DUN Permatang pada PRU akan datang dan 65 peratus daripadanya kaum Melayu.

Justeru, saya menasihati semua pengundi termasuk yang baharu agar melaksanakan tanggungjawab pada PRU-15 kelak kerana penting untuk mereka bersama memilih pemimpin setempat yang betul dan telus menjalankan kerja.

Rozana Zainal Abidin (dua,kanan) menyampaikan bantuan kewangan kepada mangsa ribut di Kampung Seri Tiram Jaya dan Kampung Sungai Gulang-Gulang pada 11 Mei 2022. Foto Facebook Rozana Zainal Abidin

Sejak dipilih menjadi wakil rakyat, apakah masalah utama yang membelenggu penduduk Permatang?

Golongan pesawah antara yang sering berdepan masalah kerana hasil mereka tidak meningkat, sekadar mendapat empat tan padi. Ditambah pula harga baja dan racun meningkat yang tentu menjadi beban buat mereka. Mereka juga terpaksa melabur untuk memastikan tanah sentiasa dalam keadaan baik kerana ulat batang ancaman utama tanaman mereka.

Apakah langkah dilakukan untuk menangani isu tersebut?

Dari semasa ke semasa, saya sentiasa berhubung dengan Jabatan Pertanian dan Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) untuk berbincang strategi menyelesaikan isu petani. Kita masih pada peringkat perbincangan tapi sekurang-kurangnya jika isu itu dirujuk kepada kita, ia akan dibawa ke sidang DNS supaya perkara berkenaan lebih jelas.

Oleh sebab itu, kita mengharapkan kerajaan pusat membuat penyelidikan dan pembangunan (R&D) kerana kawalan utama daripada mereka. Ini bagi memastikan petani mendapat hasil lebih baik, paling minimum lapan atau sembilan tan kerana itu baru selesa buat mereka. Kalau sekadar empat tan memang mereka terpaksa berhutang.  Kita juga tahu Tanjong Karang jelapang padi, jika penghasilannya tidak ‘cantik’, kita bimbang bendang berubah menjadi kebun sayur. Kita tidak mahu perkara itu berlaku.

Bagaimanakah pula perkembangan Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) di Permatang?

Setakat ini, seramai 512 individu menerima manfaat Kasih Ibu Smart Selangor (KISS), KISS Ibu Tunggal (40), Skim Peduli Sihat (1,891) manakala setiap tahun antara lima hingga 10 usahawan mendapat bantuan Blueprint dalam bentuk alatan niaga berjumlah RM5,000 hingga RM10,000.

Alhamdulillah, inisiatif tersebut banyak membantu rakyat terutama golongan berpendapatan rendah (B40). Mereka menggunakan bantuan tersebut untuk berbelanja selain dijadikan modal memulakan perniagaan bagi menjana pendapatan.

Selain IPR, apakah bantuan lain disalur kepada penduduk setempat?

Kita banyak menjalankan projek-projek kecil seperti pembaikan surau, dewan komuniti dan jalan raya selain pembinaan balai raya serta sumbangan kerusi dan meja supaya kariah di kawasan berkenaan dapat menggunakan kemudahan tersebut dengan lebih baik. Antaranya mungkin mereka mahu mengadakan kelas memasak dan tuisyen untuk anak-anak. Kita juga memberi sistem siar raya awam mengikut kemampuan.

Kebanyakan bantuan tersebut dimohon sendiri pihak yang memerlukan dengan disertai dokumen lengkap sebelum disemak untuk proses kelulusan. Jadi, kita tengok kalau kampung A sudah diberi bantuan, maka tahun berikutnya keutamaan kepada kampung lain pula.

Rozana Zainal Abidin melakukan ziarah medik Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor (Pekawanis) di Ladang Mary pada 26 April 2022. Foto Facebook Rozana Zainal Abidin

Sejak negara dilanda Covid-19, ramai rakyat terjejas. Apakah pula bantuan bagi meringankan beban mereka?

Sebanyak RM200,000 dibelanjakan untuk bantuan kepada rakyat terjejas yang diagih secara dua fasa. Jumlah itu memanfaatkan penduduk 13 kampung tradisi, 11 ladang dan tiga kampung bagan. Bentuk bantuan adalah pelbagai seperti pek makanan, cecair pembasmi kuman, pelitup muka termasuk keperluan lain kerana sepanjang tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP), semua rakyat tidak boleh keluar. Kita juga merujuk dengan ketua-ketua kampung seandainya ada individu terutama warga emas yang memerlukan bantuan lain seperti lampin pakai buang, susu dan kerusi roda.

Tanggal 18 Disember menjadi tarikh sukar dilupakan berikutan Selangor dilanda banjir besar. Boleh kongsi pengalaman membantu mangsa terjejas di Permatang?

Sebenarnya, saya tidak sangka tiba-tiba Selangor terlibat dengan banjir besar kerana kalau ikutkan negeri di pantai timur yang perlu diberi tumpuan setiap kali tiba musim tengkujuh. Kejadian itu mengakibatkan 595 keluarga dari beberapa kampung di Permatang terjejas. Antara kawasan terlibat ialah Kampung Sungai Terap, Kampung Sungai Yu, Kampung Sungai Gulang-Gulang, Bukit Belimbing, Kampung Lubuk, Kampung Bestari Jaya dan Kampung Seri Tiram Jaya.

Semua orang panik ketika itu tetapi pusat khidmat segera menggerakkan bantuan awal dengan mengagih makanan kering seperti biskut dan air mineral kepada mangsa di pusat pemindahan sementara (PPS) dan mereka yang tidak berpindah. Kita juga terpaksa meminjam sampan serta bot nelayan untuk menggerakkan bantuan berkenaan.

Adakah semua mangsa telah menerima Bantuan Selangor Bangkit (BSB)?

Alhamdulillah, bantuan tunai RM1,000 daripada Kerajaan Negeri selesai diagih kepada semua ketua isi rumah terjejas. Kita dapat lihat Kerajaan Selangor tidak leka sebaliknya melaksanakan langkah drastik untuk membantu mangsa. Dengan bantuan tersebut, sedikit sebanyak meringankan beban mereka yang ditimpa kesusahan.

Wakil rakyat pasti tidak asing berdepan cabaran. Justeru, apakah rintangan dalam memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat?

Apabila bergelar wakil rakyat, kita kena jaga semua orang tanpa mengira fahaman politik sebab rakyat yang pilih kita untuk duduk di sini. Jadi, kita kena pastikan kebajikan mereka dijaga dengan baik dan apa jua bantuan daripada Kerajaan Negeri mesti sampai kepada mereka. Jangan sampai rakyat cakap ‘saya tidak tahu kewujudan benda (inisiatif) ini’. Kalau mereka cakap begitu, bermakna mereka memang tidak ambil kisah atau mesej tidak sampai.

Sebenarnya di Selangor segala maklumat boleh diperoleh dengan pantas sebab kita ada akhbar dan media sosial. Sama ada mereka mahu baca atau sebaliknya. Sebab itu, kita kena pastikan mesej sampai ke pengetahuan mereka selain dapat apa yang dijanjikan.

Alhamdulillah saya tidak nampak kekangan besar ketika menjalankan tugas. Staf saya sering diingatkan jika penduduk datang ke pejabat, jangan biarkan mereka keluar dengan hampa sebab kita tahu mereka tidak akan datang ke PKM jika tidak mengalami kesusahan. Maka kita perlu pastikan mereka dapat apa yang diminta. Jika tiada pada hari tersebut, kita semak dulu dan cuba penuhi kemahuan mereka.

Rozana Zainal Abidin (kiri) menyerahkan baucar Jom Shopping Skim Mesra Usia Emas kepada penerima pada 21 April 2022. Foto Facebook Rozana Zainal Abidin

Apakah pula perancangan jangka panjang untuk memajukan Permatang?

Anjung utara Selangor sering disebut sebagai kawasan eko dan agro pelancongan. Kawasan ini berpotensi besar untuk dimajukan. Sebagai contoh, kalau ke kawasan Sawah Sempadan, pelancong boleh menaiki Trem Chelurut dan melihat perkembangan pertanian di kawasan berkenaan. Malah kewujudan inap desa di kawasan ini bagai cendawan tumbuh selepas hujan hingga menarik minat pelancong. Permatang juga terkenal dengan syurga makanan. Di tepi-tepi jalan kita boleh lihat ada Warung Ibu, Nasi Ambeng, Dangau Rimba, Itik Salai, Ratu Kapit, Mi Udang Banjir, Cendol Borhan dan Roti Canai Pelangi. Perubahan ketara juga boleh dilihat di Jeti Sungai Yu dengan adanya pasar tani pada Sabtu dan Ahad yang memasarkan produk-produk segar dari laut. Jadi, ini yang kita mahukan iaitu memastikan kelangsungan ekonomi rakyat.

Selain itu, saya menekankan kepada kaum wanita yang kita mahu setiap dapur mereka mesti menghasilkan pendapatan. Begitu juga kalau mereka ada tanam pokok pisang, pisang itu boleh diinovasikan menjadi kerepek sebelum dijual. Sekurang-kurangnya mereka ada wang tabungan yang boleh digunakan untuk perbelanjaan sekolah anak-anak dan membeli keperluan sendiri. Justeru, mereka perlu memanfaatkan inisiatif Kerajaan Negeri seperti Blueprint, pinjaman Yayasan Hijrah Selangor (Hijrah Selangor) dan Dana Usahawan Mikro

Berdasarkan sambutan penduduk terhadap inisiatif tersebut, adakah YB yakin sokongan rakyat meningkat seterusnya terpilih sekali lagi dalam PRU15? 

Insya-Allah, kerana fokus saya untuk kekal konsisten dalam menyampaikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat. Apabila kita konsisten melaksanakan kerja harian, rakyat akan tengok. Kita sentiasa ada bersama mereka setiap kali diperlukan. Setakat ini, saya berpuas hati dengan apa yang saya telah laksanakan. Bagaimanapun, untuk kekal bertanding di kerusi sama itu bergantung kepada keadaan.

Apakah usaha yang digerakkan pada peringkat akar umbi bagi menarik sokongan pengundi baharu termasuk Undi 18 dan pengundi pertama kali? 

Baru-baru ini, kita anjurkan pertandingan futsal bersama anak muda Tanjong Karang membabitkan penyertaan 32 pasukan. Alhamdulillah, sambutan luar biasa kerana kita tahu anak muda dengan sukan memang tidak dapat dipisahkan. Itu menjadi kegemaran mereka dan kita perlu cari apa yang mereka suka selain perlu sentiasa berhubung dengan mereka.

Tahun-tahun sebelum Covid-19 melanda, kita menganjurkan Karnival Sukan Rakyat (Kasura) dengan menawarkan sukan dalam dan luar bangunan seperti congkak, dam, sepak takraw serta bola sepak. Insya-Allah, program ini akan dianjur lagi tahun ini kerana ia antara cara mendekati golongan belia.

Pandangan mengenai perpecahan pembangkang hingga muncul parti baharu seperti Muda, Pejuang dan Perikatan Nasional (PN)?

Sebenarnya, politik ini kita raikan kepelbagaian tetapi harus diingat sekiranya politik negara tidak stabil, agak sukar untuk orang luar datang melabur dalam negara amnya dan Selangor khasnya. Namun, ketika ini Selangor nadi kepada Malaysia apabila menyumbang antara 22 hingga 25 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). Itu bermaksud, Selangor stabil. Oleh sebab itu, apabila kita dipilih oleh rakyat dan diberi amanah, kita kena konsisten melaksanakan tugas dengan baik. Jangan anggap apabila jadi wakil rakyat, kita boleh buat lain daripada matlamat sebenar kerana fokus kita kepada rakyat.

Adakah kemunculan parti baharu itu akan menjejaskan sokongan rakyat terhadap Pakatan Harapan (HARAPAN) di Selangor?

Saya tidak nampak ia boleh jejaskan HARAPAN di Selangor kerana semua wakil rakyat HARAPAN bekerja keras dalam memastikan rakyat dapat apa yang Kerajaan Negeri janjikan. Kita tidak mahu rakyat sebut ‘cakap tidak serupa bikin’.


Pengarang :