Peserta membuat pendaftaran sebelum menjalani PCR HPV ketika program Ujian PCR HPV Percuma Untuk Saringan Barah Pangkal Rahim di Dewan Komuniti MBPJ Damansara Damai, Petaling Jaya pada 13 Februari 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
ADNBERITA UTAMASELANGOR

Wakil rakyat salur maklumat, daftar golongan sasar untuk saringan kesihatan percuma

SHAH ALAM, 18 MEI: Ahli Dewan Negeri (ADN) menyambut baik langkah Kerajaan Negeri memperkenal program Selangor Saring dan sedia membantu bagi memastikan penduduk mendapat maklumat jelas bagi menyertainya.

Wakil rakyat Sekinchan berkata beliau akan meminta ketua kampung dan ketua komuniti menguar-uar program saringan kesihatan percuma itu kepada penduduk setempat selain hebahan akan turut dilakukan melalui aplikasi WhatsApp.

“Kita sedia maklum kawasan ini ada sebahagian penduduk tidak mahir mendaftar secara dalam talian jadi mereka akan diminta datang ke pusat khidmat untuk didaftarkan,” kata Ng Suee Lim.

ADN Seri Setia pula menyasarkan penduduk di Desa Mentari dan Lembah Subang berikutan sebahagian besar penduduknya dalam kalangan golongan kurang berkemampuan (B40).

“Dua kawasan ini mempunyai penduduk yang padat dan pastinya lokasi sesuai untuk diadakan program itu nanti.

“Majlis perwakilan penduduk (MPP) akan diberi peranan dalam membuat hebahan dan membantu golongan sasar untuk mendaftar,” kata Halimey Abu Bakar.

Sementara itu, wakil rakyat Sungai Ramal pula akan menggunakan data penduduk susah yang pernah meminta bantuan dari pusat khidmat bagi memudahkan pihaknya mengesan golongan sasar.

“Kita ada lebih 8,000 nama tetapi bukan semuanya diambil, kita pilih yang benar-benar layak untuk didaftar.

“Selain kita juga akan minta ketua kampung bantu menguar-uar kepada penduduk di kawasan masing-masing,” kata Mazwan Johar.

Kerajaan Negeri memperuntukkan dana RM3.4 juta bagi melaksanakan program Selangor Saring, iaitu saringan kesihatan percuma kepada rakyat negeri ini.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata program itu dijangka memberi manfaat kepada 39,000 penduduk terutama golongan berisiko seperti mempunyai sejarah keluarga, berat badan berlebihan dan mengamalkan gaya hidup tidak sihat.


Pengarang :