BERITA UTAMAPERSONALITIRENCANA

Wakil rakyat Sungai Pelek giat perjuang isu kemudahan perubatan

Bukan nama asing lagi dalam dunia politik, Ronnie Liu antara pemimpin yang lantang dalam menyuarakan isu rakyat. Terlibat dalam politik sejak 41 tahun lalu, beliau juga pernah berada dalam pentadbiran Kerajaan Negeri sebagai EXCO kerajaan tempatan, kajian dan penyelidikan pada 2008.

Wartawan Siti Rohaizah Zainal berusaha menyelami pandangan pemimpin DAP yang mewakili kawasan yang 56 peratus pengundinya terdiri daripada orang Melayu.

Apakah latar belakang sebelum bergelar wakil rakyat?

Saya dahulu merupakan copywriter di sebuah agensi pengiklanan antarabangsa selama 20 tahun. Pada 2008, saya kali pertama menjadi ADN Pandamaran. Pada masa sama sebagai EXCO untuk kerajaan tempatan untuk tempoh lima tahun sehingga 2013. Selepas saya tiada jawatan selama lima tahun. Kemudian, saya menjadi ADN Sungai Pelek.

Bagaimana YB boleh terjun ke bidang politik?

Ketika bekerja dalam industri pengiklanan, saya sudah masuk politik tetapi hanya aktif pada hujung minggu sejak 1991. Masa masuk DAP dan menjadi setiausaha cawangan Sungai Lui Subang sebelum dilantik sebagai penolong setiausaha publisiti untuk negeri. Selepas itu sebagai setiausaha dan pengerusi pada 1989.

Apakah faktor yang menjadi dorongan untuk menyertai politik?

Saya lihat Malaysia merupakan negara yang mempunyai sumber alam baik tetapi daripada aspek politiknya teruk. Daripada segi pentadbirannya teruk. Saya mahu Malaysia menjadi negara makmur dan maju. Tanpa perkauman, ekstremisme, kebebasan dan demokrasi serta keadilan.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Sungai Pelek Ronnie Liu (empat, kanan) menyertai aktiviti gotong-royong menyediakan dan mengedarkan bubur lambuk kepada masyarakat setempat di kawasannya pada 10 April 2022. Foto Facebook Ronnie Liu Thian Khiew

Bagaimana reaksi keluarga apabila YB masuk politik?

Tidak ada masalah kerana latar belakang keluarga semua ahli politik. Datuk juga orang politik tetapi parti lain. Pada masa itu, saya rasa parti itu prestasinya kurang baik walaupun banyak membela masyarakat Cina. Walaupun dalam kerajaan, saya tetap memilih untuk bersama DAP.

Berlainan parti dalam keluarga, apakah pernah disisih?

Tidak pernah tetapi mereka mengajak saya sertai parti itu jika hendak menceburkan diri dalam politik. Jangan susah-susah masuk pembangkang kerana ada peluang besar, tetapi saya tidak menghiraukannya dan tetap pendirian.

Apakah aktiviti ketika YB berehat dari politik sekali gus tidak memegang jawatan sebagai EXCO atau wakil rakyat?

Walaupun tiada jawatan, saya tetap menjalankan tanggungjawab sebagai ahli politik dengan membantu rakyat sebagai pemimpin DAP. Dari 2013 hingga 2018, saya masih menerima panggilan daripada masyarakat untuk meminta bantuan, aktif dalam perjuangan politik dan Pakatan Harapan serta DAP. Saya juga dijemput menghadiri majlis anjuran NGO dan rumah ibadat.

Mengapa bertanding di DUN Sungai Pelek dan sejauh manakah YB mengenali kawasan itu?

Saya bertanding di situ kerana ia merupakan kerusi Melayu. Bukan ramai rela untuk bertanding di kawasan Melayu. Saya rela sebab saya biasa bergaul dengan masyarakat Melayu, juga di sekolah menengah dan masuk asrama. Malah ramai kawan-kawan Melayu dan biasa bergaul dengan orang Melayu. Apabila dihantar bertanding ke kawasan Melayu, tiada masalah malah menang besar dengan majoriti lebih 6,000 pengundi.

Saya kenal dengan kawasan itu kerana pernah menjadi EXCO negeri dan menjadi ‘bapa’ kawasan kerana belum pernah Pakatan Harapan. Jadi saya mengambil peluang untuk mengenali kawasan setempat, peruntukan, aktiviti penduduk dan NGO. Bagi saya Sungai Pelek bukan asing lagi.

Dipilih sebagai wakil rakyat, apakah pandangan terhadap Sungai Pelek?

Sungai Pelek kedudukannya di pinggir Selangor menyebabkan ramai tidak mengenali walaupun dekat dengan lapangan terbang. Mereka tahu Sepang, Tanjung Sepat tetapi tidak Sungai Pelek. Jadi, peranan saya untuk menaikkan kawasan Sungai Pelek. Saya lihat Sungai Pelek ada potensi ekonomi dan ecotourisme sebab ada pantai, gunung, sungai dan dusun. Selain itu adat banyak dusun buah-buahan khususnya ladang buah naga yang dahulu hanya 600 ekar kini mencapai 2,000 ekar. Malah, Sungai Pelek juga berpotensi untuk pembangunan.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Sungai Pelek, Ronnie Liu Tian Khiew (depan, kanan) menyampaikan pek juadah Aidiladha kepada wakil petugas Pusat Pemberian Vaksin (PPV) disaksikan Pegawai Daerah Sepang, Mohamad Zain A Hamid (belakang, dua kiri) di PPV Hotel Movenpick dan Convention Centre KLIA, Sepang pada 20 Julai 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Apakah sumbangan YB terhadap masyarakat di Sungai Pelek?

Dari segi bantuan, saya banyak bantu mereka yang kurang berkemampuan dan golongan petani pula kita beri perhatian untuk menjadi jambatan kepada Kerajaan Pusat. Kita besarkan jalan masuk dari Enstek masuk ke Sungai Pelek hingga ke Sepang. Kita lebarkan jalan dari dua laluan kepada empat laluan. Kita juga tambah jalan dari KLIA ke Sungai Pelek. Jalan ini perlu dibesarkan kerana bagi mengurangkan kesesakan jalan.

Kita juga tambah satu ambulans di kawasan Sungai Pelek bagi kemudahan penduduk. Kawasan ini tiada hospital, jadi keperluan ambulans amat perlu jika ada kecemasan. Pernah ada kes tidak dapat membawa pesakit kerana ambulans sedia ada digunakan untuk menghantar pesakit lain. Lagi baik jika dibina hospital untuk memudahkan penduduk.

Apakah pula perancangan seterusnya untuk Sungai Pelek?

Kekurangan Sungai Pelek ialah tiada kemudahan hospital dan universiti. Hendak ke sesuatu tempat masih terdapat jalan yang kurang baik. Sekarang kita fokus untuk melebarkan jalan sedia ada dan buat jalan baharu. Saya bercadang untuk memajukan lagi ecotourisme supaya lebih banyak pelancong datang dengan menambah pusat tarikan, tempat makanan menarik dan kemudahan lebih baik. Saya sentiasa beri galakan kepada pelabur situ untuk buat homestay kerana setakat ini hanya terdapat Banghuris yang semakin dikenali umum bukan sahaja Malaysia bahkan Asia Tenggara.

Saya juga galakkan lebih banyak hotel dan resort kerana setakat ini ada Hotel Avani bertaraf lima bintang yang sentiasa dipenuhi pengunjung. Saya juga mahu menambah jeti dan bina pasar moden untuk kemudahan pengunjung. Sebelum ini, penduduk hanya pergi ke pasar awam Sungai Pelek. Namun, dengan adanya pasar moden lokasi lebih menarik, bersih dan paling utama lebih ramai peniaga dapat dibantu.

Apakah punca ketiadaan hospital dan universiti?

Tapak untuk kedua-dua kemudahan tersebuti sudah ada cuma menunggu peruntukan kelulusan Kerajaan Pusat. Cadangan kita ialah mendirikan kedua-dua kemudahan itu di sempadan Sungai Pelek dan Tanjong Sepat. Cadangan telah diberi, malah ada perbincangan tetapi masih lagi menunggu. Setakat ini, yang ada hanya klinik desa dan klinik utama tetapi tidak mencukupi. Jika penduduk mengalami masalah kesihatan, mereka perlu ke Hospital Putrajaya, Hospital Serdang atau Hospital Seremban.

Bagaimanakah pengalaman sebagai EXCO dapat membantu penduduk Sungai Pelek?

Betul, ia merupakan kelebihan saya dalam berkhidmat untuk rakyat. Contohnya rakyat tidak mahu pembangunan atau industri yang memusnahkan alam sekitar dan mengotorkan. Mereka juga mahukan persekitaran dan kemudahan seperti jalan raya dan longkang bersih dan tidak berlubang.

Sepanjang wabak Covid-19 melanda, apakah bentuk bantuan yang disalur?

Apabila Covid-19 melanda, ramai terkesan dan memerlukan bantuan. Kerajaan Negeri memperuntuk RM200,000 tetapi bantuan pelbagai pihak termasuk usahawan dan badan bukan kerajaan (NGO) berjumlah RM400,000. Keseluruhan bantuan selama dua tahun pemberian bakul makanan berjumlah RM600,000. Sanitasi memang kita kerap lakukan sepanjang Covid-19. Tidak semua peruntukan daripada kerajaan digunakan untuk bantuan makanan kerana perlu digunakan untuk pembangunan, rumah ibadah, perubatan dan infrastruktur.

Boleh jelaskan keberkesanan Inisiatif Peduli Rakyat di DUN Sungai Pelek?

Semua program anjuran Kerajaan Negeri dijalankan dengan baik di Sungai Pelek. Antara yang mendapat sambutan ialah bantuan Jom Shopping berjumlah RM100. Cuma, penduduk mengatakan jumlah tersebut tidak cukup dan minta ditambah kepada RM200.

ADN Sungai Pelek Ronnie Liu Tian Khiew (dua dari kanan) ketika menyampaikan sumbangan kepada salah seorang penduduk pada 10 Februari 2021. Foto Facebook Ronnie Liu Tian Khiew

Berapa ramaikah pengundi baharu di Sungai Pelek?

Pengundi 18 tahun agak ramai, penambahan kira-kira 8,000 orang pada kali ini. Saya dan pasukan akan membuat program kesukanan, kerjaya untuk menarik minat golongan ini. Saya rasa mereka belum berminat dengan politik. Jadi, perlu lakukan program atau aktiviti sosial berbanding unsur politik.

Pandangan terhadap situasi peratusan pengundi rendah dalam beberapa pilihan raya negeri?

Kalau kurang sangat orang mengundi, ia tidak cerminkan gambaran sebenar dan jejaskan semangat demokrasi. Demokrasi ialah kuasa rakyat memilih kerajaan, kalau rakyat tidak lagi mengundi demokrasi sudah cacat.

Jika dipilih bertanding di kawasan sama, adakah YB yakin diterima masyarakat Sungai Pelek?

Saya yakin penduduk di Sungai Pelek akan terus bersama mereka dengan apa yang diberikan. Saya ada keyakinan sokongan mereka ada bersama saya. Setakat ini, penerimaan mereka kepada saya sebagai wakil rakyat positif walaupun penduduk ramai Melayu.

Selama 41 tahun berada dalam kancah politik, apakah perbezaannya?

Dahulu rasuah ada tetapi kini semakin berleluasa dan bermaharajalela. Dahulu tidak banyak parti politik, sekarang terlalu banyak sehingga mengakibatkan rakyat keliru. Malah, dahulu masyarakat masih percaya dengan orang dan parti politik tetapi kini sebaliknya.

Ini kerana akta antilompat parti belum ada lagi. Dengan adanya akta ini, dapat mengembalikan semula kepercayaan kepada politik. Lompat parti adalah sesuatu yang serius dan memastikan akta ini diluluskan di Parlimen.

Apakah formula untuk mengekalkan kerjasama parti dalam Pakatan Harapan (HARAPAN)?

Saya harap HARAPAN jangan kecewa sangat dengan kekalahan di beberapa negeri sebab politik memang ada naik dan turun, ini perkara biasa. Saya rasa HARAPAN nampak seperti kurang percaya (hilang keyakinan). Jadi untuk baiki situasi ini, kena tambah perpaduan antara parti dalam HARAPAN. Hubungan antara DAP, PKR dan Amanah harus dirapatkan untuk mengelak salah faham dan mengembalikan kepercayaan orang ramai kepada HARAPAN.


Pengarang :