AGENDAJENAYAH

Wanita antara tiga individu ditahan proses, edar air ketum di Kajang

KUALA LUMPUR, 21 MEI: Polis menahan tiga individu termasuk seorang wanita disyaki terlibat dalam kegiatan memproses dan mengedar air ketum di Kajang, dekat sini.

Ketua Polis Daerah Kajang ACP Mohd Zaid Hassan berkata susulan tangkapan pada jam 11.20 malam, 19 Mei lepas polis merampas tiga kilogram daun ketum dan 70 bungkusan air ketum dianggarkan bernilai RM7,000.

Beliau berkata kesemua individu berusia lingkungan 20-an hingga 40-an itu aktif memproses air ketum sejak empat bulan lepas untuk diedarkan di sekitar Bandar Mahkota Cheras dan Kajang.

“Bekalan daun ketum ini dipercayai dari utara Semenanjung,” katanya kepada Bernama ketika dihubungi hari ini.

Mohd Zaid berkata ketiga-tiga individu itu ditahan di sebuah rumah di Bandar Mahkota Cheras dan kini direman selama empat hari bagi membantu siasatan kes di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.

– BERNAMA


Pengarang :