AGENDAJENAYAH

Wanita warga emas ditemui maut, anak lelaki tergantung dalam rumah

KUALA LUMPUR, 22 MEI: Seorang wanita warga emas dan anak lelakinya ditemukan mati dalam sebuah rumah di Kampung Baru Kundang, Rawang, Selangor, pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Gombak ACP Zainal Mohamed Mohamed berkata laporan kejadian tersebut diterima pihaknya pada 10.17 pagi, berkenaan seorang wanita tempatan, 71, tidak sedarkan diri dan seorang lelaki tempatan, 35, dalam keadaan tergantung di dalam rumah terbabit.

“Siasatan di tempat kejadian mendapati tiada sebarang unsur jenayah. Tiada sebarang kesan umpil dan pecah masuk. Barang-barang peribadi milik kedua-dua mereka seperti wang tunai dan telefon bimbit berada di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata pemeriksaan ke atas kedua-dua mayat juga tidak menjumpai sebarang unsur jenayah dan pihak Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor turut hadir di lokasi kejadian untuk membantu siasatan.

“Mayat kedua-dua mangsa telah dihantar ke Unit Forensik, Hospital Sungai Buloh untuk tujuan bedah siasat. Kes diklasifikasikan sebagai Kes Mati Mengejut (SDR) sehingga laporan bedah siasat lengkap diperolehi,” katanya.

Zainal Mohamed berkata sebarang maklumat lanjut boleh menghubungi Ketua Balai Polis Kundang Sarjan Mejar Wan Azhar Wan Ariffin ditalian 03-60341222 atau 019-9997233.

— BERNAMA

 

 


Pengarang :