EXCO perumahan dan kesejahteraan bandar Rodziah Ismail mengadakan pertemuan dengan bekas pemain Selangor yang memenangi Piala Malaysia 1995 bagi membincangkan penyelesaian tuntutan daripada wakil dan juga bekas pemain. Foto Rodziah Ismail
AGENDABERITA UTAMAPILIHAN MINGGUANSUKANKINI

Wira Piala Malaysia 1995 bakal terima Rumah Selangorku

SHAH ALAM, 31 MEI: Seramai 31 bekas pemain dan pegawai skuad Selangor yang memenangi Piala Malaysia pada 1995 akan memperoleh rumah dari Kerajaan Negeri dalam tempoh terdekat.

EXCO perumahan dan kesejahteraan bandar berkata tawaran Rumah Selangorku Idaman/Harapan itu adalah sebagai gantian kepada ganjaran tanah yang dijanjikan oleh pimpinan Kerajaan Negeri terdahulu.

“Alhamdulillah isu yang telah datang kepada saya dan saya bangkitkan dalam mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN).

“Lanjutan daripada itu saya mewakili Kerajaan Negeri mengadakan perjumpaan bagi membincangkan penyelesaian tuntutan daripada wakil dan juga bekas pemain.

“Kerajaan Negeri bersama Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor membincangkan isu ini dengan semua bekas pemain bola dengan menawarkan Rumah Selangorku Idaman/Harapan sebagai gantian dan ia sudah dipersetujui,” kata Rodziah Ismail kepada Selangorkini.

Beliau berkata lokasi rumah masih belum diketahui dan akan dibentangkan semula dalam MMKN selepas mendapat persetujuan semua bakal penerima.

Pasukan Selangor menjuarai Piala Malaysia buat kali ke-28 pada 11 November 1995 selepas menanti selama sembilan tahun apabila menewaskan Pahang dengan jaringan 1-0 di Stadium Shah Alam.

Susulan itu, setiap pemain dan pegawai pasukan Selangor dijanjikan ganjaran sebidang tanah berukuran 0.4 hektar.


Pengarang :