Selangorkini
Yayasan Islam Darul Ehsan (Yide) menghulurkan bantuan kepada keluarga mangsa bah di mukim Kerling, Hulu Selangor. Foto Facebook Yide
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Yide: Mangsa bah terima bantuan RM500, barangan keperluan asas

SHAH ALAM, 24 MEI: Yayasan Islam Darul Ehsan (Yide) menghulurkan bantuan kepada enam keluarga mangsa bah di mukim Kerling, Hulu Selangor pada minggu lalu.

Agensi itu menerusi Facebook memaklumkan semua enam keluarga itu menerima bantuan wang tunai RM500 dan barangan keperluan asas.

“Bantuan diberikan bersama Majlis Agama Islam Selangor (Mais) dan beberapa agensi agama Islam.

“Alhamdulillah tiada kemalangan jiwa yang berlaku dan kesemua mangsa ditempatkan di Sekolah Kebangsaan Kerling,” kata agensi tersebut.

Tambah Yide, sebagai anak syarikat Mais yang dipertanggungjawabkan, pihaknya komited dalam memberikan bantuan segera kepada mangsa.

Orang ramai boleh terus menghubungi Yide di talian 017-7569476 sekiranya terdapat bencana atau musibah di kawasan mereka.

Pada 16 Mei, kira-kira 20 rumah di Kampung Jawa Kerling terjejas akibat banjir kilat susulan hujan berterusan lebih tiga jam bermula pukul 12 tengah hari hingga 5 petang.


Pengarang :