Penyanyi Ziana Zain ketika latihan bagi rakaman sketsa Senandung Aidilfitri anjuran Kerajaan Negeri di Perbadanan Adat dan Warisan Selangor (Padat), Shah Alam pada 29 Mac 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
BERITA UTAMARENCANAWAWANCARA

Ziana Zain ligat kumpul duit bikin konsert solo

Ziana Zain insan seni berpengaruh pada dekad 1990-an dan awal 2000. Mencipta nama sebagai penyanyi bersuara nada tinggi, beliau turut membintangi filem-filem Melayu pecah panggung arahan Datuk Yusof Haslam.

Ketika ini, pelantun lagu Madah Berhelah itu masih lagi ligat menyanyi dan membuat persembahan meski tidak serancak dahulu. Namun, Ziana tetap istimewa di hati peminatnya lantaran keunikan suara beliau.

Ikuti perkongsian kisah mengenainya yang dinukilkan wartawan, AMIN RIDZUAN ISHAK yang bertemu beliau pada 30 Mac ketika sesi rakaman Senandung Aidilfitri.

Tanpa berselindung, Ziana Zain meluahkan rasa rindu terhadap peminat yang menaikkan namanya di persada hiburan tanah air sejak dekad 1990-an. Penyanyi itu sedar, peminat yang meletakkan beliau sebagai insan seni berkaliber dengan memutar lagu malar segar dendangannya.

Ziana atau nama sebenar Siti Roziana Zain, 54, mengakui bukan mudah kekal sebagai anak seni tanpa sokongan peminat. Merekalah yang membeli album sehingga penyanyi itu pernah menerima anugerah cakera platinum berkembar tiga pada 1995 apabila album Puncak Kasih terjual lebih 150,000 unit.

Sokongan peminat juga menyebabkan lakonan Ziana dalam filem seperti Sembilu dan Maria Mariana merekodkan kutipan pecah panggung. Semua itu membuatkan Ziana terharu dan mahu membalasnya dengan mengadakan konsert untuk mereka.

Jasa peminat harus dibalas. Hanya penganjuran konsert sahaja boleh membalasnya selain menjadi pengubat rindu terhadap penyokong kerjaya seninya kira-kira 30 tahun selain keluarga tercinta.

Dalam pertemuan dengan penyanyi itu baru-baru ini, beliau teruja berkongsi perancangannya mengadakan konsert tahun ini. Namun, Ziana sedar untuk menjayakan impian menganjur konsert bukan mudah. Banyak aspek perlu diambil kira terutama kewangan.

Kesan penularan Covid-19 menyukarkan banyak syarikat keberatan menaja atas alasan mempunyai keperluan perbelanjaan lain yang lebih penting.

Namun, kakak kepada penyanyi terkenal, Anuar Zain, 52, tidak berputus asa. Bagi mencapai impian mengadakan konsert solo, Ziana mengumpul dana sendiri dengan memenuhi tempahan persembahan di majlis korporat yang giat dilakukannya sekarang.

“Saya percaya rezeki itu datang dari mana-mana sahaja asalkan kita ikhlas melakukan sesuatu. Harapan saya mahu mengadakan konsert pada tahun ini juga, sekarang ini ramai artis lama mula tampil buat persembahan kerana ada permintaan.

“Kalau bukan berskala besar memadai buat kecil-kecilan dan secara santai depan peminat, tunggulah saya umum berita gembira ini,” katanya.

Ziana Zain menghiburkan penonton dalam salah satu konsert dijayakannya. Foto Facebook ZIANA ZAIN

Anak kelahiran Merlimau, Melaka itu, tekad mahu mengulangi kejayaan ketika pertama kali mengadakan konsert solo di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) Kuala Lumpur pada 1996.

Artis lama lebih bertahan

Bekas pramugari syarikat Penerbangan Malaysia itu berkata artis pada zaman sekarang bertuah kerana dapat mempromosi karya dengan mudah dengan berkongsi di media sosial. Tekan sahaja butang muat naik, jutaan orang boleh mendengar atau menontonnya.

Capaian penonton lebih tinggi dengan mudah dan cepat. Keadaan berbeza ketika Ziana mula-mula menceburi bidang seni. Pelbagai kepayahan terpaksa dilalui. Turun naik ke pusat membeli-belah untuk mempromosi album atau filem sudah menjadi perkara biasa.

Penonton akan membanjiri premis itu untuk bertemu artis kesayangan mereka. Bagi penyanyi yang menandatangani kontrak pertama pada 1991, nilai untuk menghargai karya seni lebih dirasai pada waktu itu.

“Keterujaan dulu lain berbanding sekarang, dahulu peminat bila beli album akan belek kesemua isinya termasuk lirik-lirik. Jadi timbul perasaan kasih sayang, bila dapat bersua lagilah kecoh.

“Jadi kami balas dengan beri persembahan terbaik. Mungkin kesusahan kami alami itu menyebabkan ramai artis lama bertahan hingga kini,” jelas figura terkenal dengan aksi kening lentik itu.

Bagi Ziana, seseorang artis perlu bijak menggunakan media sosial. Platform itu mempunyai kebaikan dan keburukan sendiri, bergantung kepada penggunanya. Nasihatnya elakkan kontroversi sehingga menjejaskan kerjaya seni.

Kecenderungan menggambarkan sokongan peminat berdasarkan jumlah tanda suka atau perkongsian di media sosial perlu ditolak tepi. Adakalanya Ziana musykil melihat keghairahan masyarakat dan penggiat seni cenderung melihat angka di media sosial semata-mata.

“Keadaan berbeza dahulu apabila saingan secara sihat antara satu sama lain berdasarkan jumlah jualan album, persaingan itu lebih nyata dan membuatkan kami lebih bersemangat menghasilkan karya terbaik,” katanya.

Sepanjang bergelar anak seni, Ziana sering mengingati nasihat orang tuanya supaya ikhlas dalam setiap kerja, selalu bersyukur dan tidak sombong kerana semua yang diberikan seperti nyanyian merdu kurniaan Allah SWT.

“Itulah pesanan yang saya pegang sehingga sekarang,” katanya.

Ziana mengecap pelbagai pengiktirafan sepanjang kerjayanya sekali gus membuktikan kehebatannya. Dalam bidang nyanyian, antara pencapaiannya menjuarai pertandingan Voice Of Asia ke-6 di Kazakhstan (1995), artis paling popular dalam Anugerah Bintang Popular (1995), pingat emas Festival Muzik Tokyo (1996) dan album pop terbaik Anugerah Industri Muzik (1997).

Dalam bidang lakonan pula, antara pengiktirafan termasuk pelakon wanita paling popular Anugerah Bintang Popular (1996) dan pelakon wanita terbaik Anugerah Skrin (1997).

Kenangan raya

Ziana turut mengimbas gelagat bapanya yang cukup disiplin dalam membuat persiapan baju raya. Katanya, tiga bulan sebelum Syawal bapanya menempah pakaian raya untuk Ziana dan empat lagi adik-beradiknya.

Ziana Zain bersama anak-anaknya ketika meraikan hari raya Aidilfitri 2022. Foto Facebook ZIANA ZAIN

Sebagai anggota polis, Zain Abdullah atau lebih dikenali dengan panggilan Pak Zain sentiasa menerapkan aspek disiplin dalam kehidupan keluarganya yang menetap di Kampung Melayu Subang, Shah Alam sejak lebih 50 tahun. Ia termasuklah penampilan ketika menyambut Aidilfitri.

Ziana masih ingat pesanan ayahnya yang kini berusia 84 tahun, supaya berpenampilan menarik ketika Aidilfitri. Pak Zain menegaskan ia bukan untuk kelihatan glamor di mata orang lain semata-mata, tetapi menjadi pengikat hubungan keluarga apabila bersama-sama menggayakan pakaian cantik.

Menurut Ziana, lazimnya tiga bulan sebelum Syawal menjelma, langkah ayahnya pastinya ke kedai tekstil untuk memilih rekaan kain yang menarik untuk dijadikan baju raya buat mereka sekeluarga.

“Paling kurang ayah akan tempah tiga pasang pakaian dan semua kami mesti sedondon (corak pakaian sama antara satu sama lain). Kalau perempuan hari pertama disediakan baju kurung manakala skirt pada keesokan harinya dan gaun pada hari ketiga.

“Ayah memang teliti dan mahu kami kelihatan segak ketika raya,” katanya.

Apabila Ziana bergelar ibu, baharu beliau tahu bagaimana kepuasan ayahnya apabila melihat semua anaknya berpakaian menarik pada 1 Syawal. Beliau juga kini mengikut jejak bapanya yang sentiasa memastikan baju raya empat cahaya matanya tersedia menjelang lebaran.

Justeru, setiap kali Aidilfitri, ibu tunggal itu sibuk memilih corak kain sesuai untuk dijadikan pakaian buat anaknya.

“Puas hati bila lihat semua anak-anak berpakaian cantik. Sebenarnya nikmat menyambut Aidilfitri bila lihat semua ahli keluarga berpenampilan menarik dan boleh rapatkan hubungan.

“Paling penting hari raya pertama, selepas solat Aidilfitri kami akan berkumpul di rumah ayah, bermaaf-maafan dan berborak satu sama lain,” kata penyanyi itu.


Pengarang :