Pegawai Penyelaras DUN Batang Kali, Saifuddin Shafi Muhammad (lima dari kanan) bersama 110 penduduk Batang Kali yang menyaksikan filem Mat Kilau di TGV AEON Rawang pada 27 Jun 2022. Foto MUSTAKIM RAMLI/SELANGORKINI
ADNSELANGOR

110 penduduk Batang Kali dibawa tonton filem Mat Kilau secara percuma

GOMBAK, 28 JUN: Seramai 110 penduduk Dewan Undangan Negeri (DUN) Batang Kali dibawa menonton filem Mat Kilau secara percuma di pawagam TGV Aeon Rawang di sini, malam tadi.

Menariknya sebahagian besar mereka yang terdiri daripada belia memakai busana Melayu serta bertanjak bagi menyaksikan filem berkenaan.

Pegawai Penyelaras DUN Saifuddin Shafi Muhammad berkata lebih RM2,000 diperuntuk pusat khidmat rakyatnya bagi pembelian tiket selain enam penonton yang memakai busana terbaik turut menerima hadiah wang tunai.

“Promosi filem ini terlalu hebat dan kita nak orang Batang Kali rasainya sendiri. Melalui filem ini kita mahu orang kita kenal akar budaya, kenal susur galur supaya tidak lupakan.

“Hidup kita ini sentiasa bergelut, sentiasa ada perjuangan. Perjuangan dulu lain sekarang lain, jika dulu berjuang menentang penjajah zaman sekarang kita berjuang mengekal keharmonian,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata selepas ini pihaknya merancang untuk membawa masyarakat India di Batang Kali menonton filem Tamil pada Julai ini.

“Sebelum ini memang kita selalu adakan program seperti ini namun dihentikan akibat Covid-19. Jika ada filem tempatan yang bagus kita akan buat bukan sahaja untuk orang Melayu tetapi juga India dan Cina,” katanya.

Setakat semalam, filem Mat Kilau Kebangkitan Pahlawan meraih kutipan lebih RM12 juta dalam tempoh empat hari tayangan.

Filem arahan Syamsul Yusof diterajui Datuk Adi Putra yang diberi tanggungjawab menghidupkan watak pahlawan Mat Kilau Imam Rasu atau Mat Kilau.

Selain turut dibintangi aktor hebat seperti Wan Hanafi Su sebagai ayah Mat Kilau iaitu Tok Gajah, Beto Kusyairy (Wahid), Khir Rahman (Usup), Fattah Amin (Awang) dan Johan As’ari (Yassin).


Pengarang :